Salam sejahtera :) Saya Wong , seorang anak Cina berasal dari Merlimau , Melaka , Malaysia . Selamat berkenalan ya !

Inilah kali pertama saya menulis blog . Sebelum ini
saya sering dengar orang kata
blogger blogger ( rasanya
blogger hanya sesuatu yang dimiliki oleh orang
high class / moden sahaja haha ) , tapi tidak pernah terlintas dalam minda saya pun bahawa pada suatu hari nanti saya juga akan menulis blog seperti mereka .
Mungkin anda tertanya-tanya sebab saya blogging dalam bahasa Melayu di samping jua bahasa Mandarin sedangkan saya seorang anak Cina ( lumrahnya anak Cina Malaysia terbiasa dengan bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris sahaja kan ) . Baiklah , izinkanlah saya menceritakan sedikit tawarikh famili saya dahulu ...
Alkisah , moyang saya telah bertapak di Tedung , Melaka , Malaya sebelum kedatangan askar-askar penjajah Jepun . Pada masa itu , terdapat ramai penduduk Peranakan Cina ( atau lebih dikenali sebagai Baba Nyonya ) di sekitar pekan Tedung . Kondisi persekitaran begini telah mempengaruhi bahasa pertuturan moyang saya sehinggalah anak-anak mereka ( generasi datuk dan datuk saudara saya ) . Kebanyakan datuk mahupun datuk saudara saya fasih berbahasa Melayu-Baba .
Syahadan , selepas kahwin , datuk saya telah pindah rumah ke Sempang , sebuah perkampungan berdekatan dengan Tedung yang mana majoriti penduduknya ialah anak Melayu . Hatta , nenek saya dan anak-anaknya ( ayah dan pak cik saya ) pula fasih berbahasa Melayu kampung .
Mungkin anda akan tanya : Apakah perbezaan antara bahasa Melayu-Baba dengan bahasa Melayu tulen ? Baik , misalnya , anak Melayu sebut " banyak " manakala anak Baba sebut " manyak " ; anak Melayu sebut " cube " manakala anak Baba sebut " cuba " .
Alhasil , kini dalam famili saya , bahasa pertuturan utama kami ialah bahasa Hakka ( bahasa ibunda bagi puak Cina berketurunan Hakka , puak Cina berketurunan lain di Malaysia adanya juga Hokkien , Cantonese , Hailam dll ) , manakala bahasa pertuturan kedua kami ialah bahasa Mandarin dan bahasa Melayu . Semasa kami mengejek , bergurau , marah , kami akan menggunakan bahasa Melayu . Pelik kan ? Tapi itulah fenomena yang berlaku dalam famili saya .
Jadi , kata orang , bapak borek anak rintik , saya bukan sahaja minat bahasa Melayu , malah juga fasih bertutur dalam bahasa Melayu . Mungkin anda tertanya-tanya , mampukah saya bertutur dalam bahasa Mandarin ? Ya . Saya juga fasih berbahasa Mandarin seperti anak-anak Cina yang lain . Apa yang bezanya sedikit adalah saya tidak pelat semasa bercakap bahasa Melayu .
Bagi saya , sebagai anak Malaysia , adalah tanggungjawab kita untuk menguasai bahasa kebangsaan kita yakni bahasa Melayu dengan sepenuhnya . Walau bagaimanapun , hal ini bukanlah bererti kita tidak perlu menguasai bahasa ibunda kita ikut kaum masing-masing dengan baik . Dalam drama keluaran negara-negara barat , tidak pernah pun saya lihat pelakon Cinanya yang pelat berbahasa Inggeris ; dalam negara-negara jiran Malaysia yang pernah saya lawati semasa jambori pengakap , tidak pernah pun saya lihat anak-anak Cina di sana yang tidak fasih bertutur bahasa kebangsaan negara mereka . Tetapi , apabila pandang pada negara kita sendiri Malaysia yang tercinta ini , kebanyakan anak Cina di sini bukan sahaja pelat dalam bahasa Melayu , malah ada yang langsung tidak mengerti bahasa kebangsaan negara kita sendiri ( terutamanya bagi anak-anak Cina yang belajar di sekolah antarabangsa ataupun yang belajar di negara jiran berdekatan seperti Singapura ) . Malu , bukan ?

Jujurnya , saya suka bergaul dengan rakan semua kaum , pada masa yang sama saya masih rapat dengan rakan Cina saya . Saya tidak suka kecinaan sangat . Saya selalu fikir begitu : suatu hari nanti , jika kami ( anak Cina Malaysia ) pergi ke luar negara , orang tanya kami " Apakah keistimewaan kamu sebagai anak Cina di Malaysia ? " , apa yang boleh kami jawab ? Fasih berbahasa Mandarin ? Tidak ! Anak-anak di China juga fasih berbahasa Mandarin . Fasih berbahasa Inggeris ? Tidak ! Lihatlah remaja di Malaysia sekarang , kebanyakan mereka hanya "fasih" berbahasa
Manglish (
Malay +
English =
Malay-style-English ) sahaja . Fasih berbahasa Melayu ? Tidak ! Majoriti kami pelat bertutur dalam bahasa Melayu . Jadi , perlulah kita ( termasuklah kaum bukan Melayu ) menguasai bahasa kebangsaan kita ini di samping bahasa ibunda masing-masing serta bahasa Inggeris , agar kita boleh dengan bangganya memberitahu orang asing bahawa " Saya Anak Malaysia " !
Inilah identiti terunik bagi kita semua , bukan sahaja sebagai anak Malaysia , malah jua sebagai anak Nusantara ( Kepulauan Melayu ) .
Jikalau benar anak yang jaya , Dalam santun menegak budaya ;
Duduk muafakat dalam keluarga ,
Menjunjung akhirat menatang dunia ;
Maruah keturunan sama dipelihara .
Saya rasa sekian sahaja buat kali pertama saya blogging ini . Hubaya-hubaya saya berpeluang lagi untuk berkongsi pendapat saya bersama anda semua pada masa yang akan datang . Salam ukhuwah .