Keistimewaan Bangsa Nusantara

" Apa yang membuat kita begitu istimewa bukan sejarah kita , keturunan kita , budaya kita ... tetapi sikap kita . "
“ 真正让我们变得与众不同的并不是我们的历史、我们的血统、我们的文化 ... 而是我们的态度。”

Wednesday, June 4, 2014

Kenangan Program Latihan Khidmat Negara Kumpulan 1 Siri 11 / 2014 Di Kem PLKN Warisan Melaka

  Salam Sejahtera , Salam Cinta Negara , Salam Perpaduan , Salam Kesukarelaan , Salam Khidmat Negara ( Khidmat Negara Yes ! ) dan Salam Satu Malaysia ( Malaysia Boleh ! ) ! Kali ini blogging ingin berkongsi dengan anda semua tentang pengalaman dan kenangan saya semasa mengikuti Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN ) di Kem PLKN Warisan Masjid Tanah , Melaka .

Buku Panduan Peserta PLKN
  Sebelum ini , saya pernah dengar macam-macam komen terhadap PLKN , ada yang negatif ada yang positif . Detik saya diucapkan " Tahniah ! Anda telah terpilih ... " , sebenarnya dalam minda saya nol . Perasaan saya bercampur aduk , ada gembira ada jua hampa . Gembiranya sebab saya akan dapat ramai taulan dan pengalaman baharu dalam kem selama dua bulan setengah yang akan datang ; hampanya sebab saya sudah tidak dapat menjalankan rancangan saya untuk backpacking di Semenanjung Malaysia . 

  Takdir Tuhan , manakan kita elak , bukan ?

  Pada 4 Januari 2014 , awal-awal pagi lagi saya sudah bertolak ke Stadium Mini Jasin untuk berkumpul . Bak kata anak Jawa , " risaunya lungse ( terlambat ) " , kononnya takut ketinggalan bas . Sebenarnya , saya tidak sabar-sabar ingin pergi ke kem PLKN kerana saya amat pasti keseronokan aktiviti di sana akan menggantikan kesunyian atma saya sebagai anak tunggal selama ini kendatipun rancangan backpacking saya untuk tempoh masa menunggu keputusan SPM telah hancur . Di stadium , berbagai-bagai reaksi para bakal pelatih PLKN kumpulan 1 siri 11 / 2014 , adanya berseri-seri wajah , ada pula bermuram durja sahaja . Tidak kurang jua yang menangis sambil memeluk ibunya seerat-eratnya ( khususnya bagi pelatih perempuan ) . 

Pendaftaran di Stadium Mini Jasin
Bersama Kawan-Kawan Sama Sekolah yang jua Menyertai PLKN
Sebelum ke Kem Masing-Masing

  Sebenarnya , saya sendiri bimbang akan kebersihan di Kem PLKN Warisan kerana kata abang kakak senior , kem itu sungguh damuih ( maklumlah Kem PLKN Warisan merupakan Kem PLKN tertua di Melaka , bekas kem latihan askar ) .   

  Namun , benar kata madah pujangga Melayu , tak kenal maka tak cinta , rupa-rupanya kem ini ...

  Kem PLKN Warisan amat unik kerana kem ini terletak di hujung ladang kelapa sawit berbentuk muka bumi yang beralun dan berjiran dengan Sungai Linggi . Apa yang menarik adalah sesiapa sahaja yang ingin masuk ke kem tersebut pastinya akan melalui " karpet merah " yang mendebarkan , iaitu sebatang jalan tanah merah ladang kelapa sawit yang panjangnya 3 km . Berapi berasap berdebu ! Haha !

  Sememangnya saya amat bertuah kerana ramai rakan yang sesekolah dengan saya pun sama kem dengan saya . Daftar , ambil pakaian PLKN , cadar dan sarung bantal ... intihanya , sayalah orang pertama yang mendaftar di dorm saya , BL1A . 

  Jadi , tunggu apa lagi ? Bersiap sedialah untuk menjadi pelatih kumpulan 1 siri 11 / 2014 Kem PLKN Warisan ! Woohooo ! !

Ayuh !
 Mari Kita Sama-Sama Membotak !
Gembira Sungguh Ya Menjadi Botak ? Haha
Issyyy ... Malu La Saya 
Jangan Risau !
Saya Boleh Tolong Gunting Punya !

  Terdapat empat kompeni ( kumpulan ) di dalam kem PLKN , yakni Alfa , Bravo , Charlie dan Delta . Pelatih lelaki digelar sebagai " wira " apakala pelatih perempuan digelar sebagai " wirawati " . Selepas seluruh pelatih kumpulan 1 telah masuk kem pada 4 , 5 , 6 hb Januari , maka kelas CB ( Character Building ) pun bermulalah bagi tempoh hampir 2 bulan . Sepanjang dua bulan setengah ini , Physical Training ( atau lebih dikenali sebagai PT pagi ) akan diadakan pada jam enam setengah pagi hingga jam tujuh setengah pagi ( kecuali bagi Sabtu dan Ahad ) . Pada jam lapan dua puluh minit pagi , aktiviti akan dimulakan . Bagi dua bulan pertama , kelas diadakan . Manakala bagi setengah bulan lagi yang terakhir ialah kegiatan luar . 

Bersama Sahabat yang Sama Dorm , BL1A 
Bersama Sahabat yang Sama Dorm , BL1A


Bersama Sahabat Cina yang Sama Dorm , BL1B
Bersama Sahabat yang Sama Dorm , BL1B

Locker Pelatih 
  Kelas CB ini agak luar biasa kerana saban kali kami pelatih masuk dan keluar kelas , akan adanya lagu dimainkan . Lagu-lagunya pula berbeza mengikuti modul yang berlainan . Namun , saban kali lagu-lagu tersebut mesti diakhiri dengan muzik " Olympic Fanfare " . Lagu yang paling saya suka ( lagu lain minat juga , tapi minat biasa-biasa sahaja ) ialah lagu " Hijau " daripada Zainal Abidin . Bagi saya , lagu tersebut ada gaya lagu bumiputera Borneo , rentak muziknya membuat pendengar ingin berjoget . Walau bagaimanapun , sebenarnya lagu tersebut membawa mesej yang mustahak dan serius , yakni isu pencemaran alam sekitar . Sesungguhnya tidak dapat disangkal , Zainal Abidin berbakat menghasilkan lagu bertema isu-isu berat dengan rentak muzik yang tidak " memberatkan " . 




Situasi di Dalam Kelas PLKN 
Berpakaian Uniform Kelas Bersama Sahabat 
Kelas Modul Kenegaraan 
Pelatih Bermain Lambung 
Jujurnya , kelas CB agak membosankan . Saya nampak ikhtiar para jurulatih multiskill untuk menghidupkan suasana pembelajaran kelas , walakin mereka terlalu terikut-ikut skemanya . Sepanjang kelas CB , salah satu aktiviti yang tidak akan saya lupa ialah aktiviti jugel ( main lambung yang lumrahnya dilakukan oleh badut di sarkas ) . Konsepnya adalah " coach and trainee " , iaitu kami akan bermain lambung bersama buddy ( taulan rapat ) kami bagi setiap latihan di dalam kelas . Apabila seseorang sedang bermain lambung , buddynya akan memompakannya . Kami senantiasa memegang prinsip yang mana seorang jurulatih yang baik akan menzahirkan pelatih yang baik . Sesungguhnya , khittah demi khittah telah diajar oleh jurulatih multiskill dengan penuh kesabaran . Ramai rakan sekelas saya telah berusaha menguasai teknik main lambung bukan sahaja di dalam kelas CB , malah di dalam dorm jua . Mereka bermain lambung dengan bola khas jugel semasa kelas CB manakala gumpalan stoking digunakan oleh mereka semasa latihan di bilik penginapan masing-masing . Kata orang , di mana ada kemahuan , di situ ada jalan ! Pada penghujung modulnya , suatu persembahan main lambung diadakan . Benar kata peribahasa Melayu , belakang parang pun jikalau diasah nescaya tajam . Kebanyakan pelatih ini telah sukses mencapai peringkat kesepuluh iaitu dapat bermain lambung dengan tiga biji bola jugel pada masa yang sama . Hakikatnya , saya juga tertarik oleh aktiviti jugel ini yang lazimnya dimainkan oleh ahli sarkas , tetapi saya agak malas untuk berlatihnya . Sebagai pengajaran , jika tidak dipecah ruyung di mana boleh mendapat sagu ? Mestilah kekok sahaja persembahan jugel saya haha !

  Baiklah , kita lihat pula latihan Modul Fizikal . Terdapat ajnas kegiatan latihan fizikal , misalnya menembak , berenang , sukan kreativiti ( permainan yang memerlukan pelatih untuk berfikir di luar kotak ) , kawat , tali rendah dan tali tinggi ( flying fox dan rappelling) , kembara halangan , navigasi serta wirajaya . Aktiviti latihan fizikal pertama yang diimplementasikan di Kem PLKN Warisan ialah kembara halangan pada 3 hb Februari ( selepas cuti Tahun Baru Cina ) . Majoriti pelatih Cina tidak berpeluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti kembara halangan kerana mereka memohon cuti selama seminggu . Saya pula dapat menyertainya sebab saya pulang ke kem pada pagi 3 hb Isnin itu jua mengikuti jadual yang ditetapkan oleh tuan komandan ( saya rasa sangat bosan duduk di rumah , lagipun saya rindu akan buddy-buddy di kem ) .


Navigasi
Berdebu Berasap Berapi ! Haha
Bagai Kambing Keluar Dari Kandang 
Navigasi Di Dalam Ladang Kelapa Sawit 
Menara Bagi Jurulatih Menyambut
Pelatih Flying Fox



Rappelling

Saya Berpakaian Uniform Kelas
( Pulang ke Kem Selepas Cuti Raya Cina)
  Aktiviti kembara halangan mempunyai 10 elemen ( jika saya tak silap ) . Wahai jurulatih fizikal , terlebih dahulu saya ingin meminta maaf daripada kamu semua kerana saya sudah terlupa nama-nama elemen yang ada dalam kembara halangan meskipun kamu pernah memberitahu kami tentang nama-namanya haha . Saya seorang yang lemah dalam aktiviti fizikal . Sebelum saya melakukan kembara halangan , saya memang kekurangan akidah . Namun , pabila saya sedar bahawa saya adalah " wakil " pelatih Cina dalam kegiatan tersebut , saya bilang dengan sendiri : 你可以的 !( kau boleh ! ) . Maka , saya percayalah swadaya untuk menghadapi setiap cabaran dalam kembara halangan . Implikasinya amat menakjubkan . Sewaktu kami sekumpulan pelatih sampai di tembok dinding 3.5 m , saya terkejut dengan potensi diri saya untuk memanjat tembok tersebut dengan mudah sedangkan ramai wira yang kelihatan aktif dan sporty tercungap-cungap , terlompat-lompat , terbahak-bahak , terketar-ketar untuk memanjatnya . Haha ! Mungkin saya sudah terbiasa dengan kelasakan pengakap ?

  Satu elemen lagi yang saya tidak akan lupa ialah Tarzan Swing dengan Monkey Rack . Ghalibnya , permainan PLKN tersebut yang kita tonton via kaca televisyen , bawahnya ada kolam sarat dengan air ( mungkin ada berfamili-famili katak hidup di dalam kolam itu jua ke ? ) . Nampaknya sungguh mencabar ! Walau bagaimanapun , realitinya , saya berasa hampa apabila saya mendapati kedua-dua kolam bawah permainan tersebut di dalam kem saya kering-kontang sahaja akibat musim panas yang melanda negara kita ini . Berapi berasap berdebu !

Seronok Tak Wirawati Kembara Halangan Ini ?   
Susahnya ! Tapi Seronok ! Haha
Wira ! You Can Do It !
  Sekarang mari kita berceloteh tentang aktiviti kawat kaki di dalam kem PLKN . Bagi aktiviti kawat kaki ini , latihannya diadakan dari semasa ke semasa ( lazimnya pada petang saban hari Khamis ) sehinggalah hari pertandingan kawat kaki . Rugilah kalau kita masuk PLKN tetapi tidak menyertai kawat kaki , bukan ? Langkah demi langkah kawat kaki telah diajar oleh jurulatih fizikal dari semasa ke semasa . Kiri kanan kiri , kiri kanan kiri ... Sememangnya tidak dapat dinafikan , kawat kaki waktu petang , sungguh memenatkan . Cahaya matahari sore menggigit kulit kami menyebabkan peluh seperti mata air yang keluar dari liang-liang batu . Basah seluruh tubuh kami , dari hujung rambut sampai hujung kaki . Setiap kali selepas latihan kawat kaki , kami pasti menghenyakkan diri di atas sofa bilik rehat wira ( rasanya wirawati pun sama di bilik rehat mereka ? ) . 


Jom Mandi !
( Bersama Sahabat Kompeni Alfa Selepas Berkawat Kaki)
Persahabatan telah Menghapuskan Kepenatan Kami
Penat Sama Dijunjung , Relax Sama Dijinjing
Penat Selepas Berkawat Kaki !
( Bersama Sahabat Kompeni Charlie )
  Kompeni saya , kompeni Alfa amat bertuah kerana dalam kompeni kami , terdapat seorang wira bernama Cornelius anak Tamin ( pemegang tigak balak ) yang pernah memegang jawatan sebagai jurulatih kawat kaki dalam unit badan beruniform di alma maternya . Cornelius berdedikasi terhadap setiap latihan yang dikendalikannya . Kami anak-anak buahnya juga mematuhi segala ajaran dan arahannya . Sebagai ketua kumpulan kawat kaki kompeni Alfa , Cornelius bijak berkomunikasi dengan kami mengikuti karakter masing-masing . Maksud advis yang sama , tetapi cara penyampaiannya terhadap kami berbeza mengikuti sifat diri kami yang tidak sama . Konsep " masuk kandang kambing mengembek , masuk kandang kerbau menguak " telah diaplikasikannya dengan baik . Selain itu , dia juga berusaha untuk mematikan segala ninabobok yang mungkin memadamkan api semangat kami untuk berkawat . Apa yang kami mahu hanya satu , kemenangan ! ( Walaupun akhirnya Alfa telah kalah dalam pertandingan kawat kaki ! Haha ! )


Asisten Skuad Kawat Kaki Wirawati Kompeni Alfa
( Nursyahirah Inani Binti Mohd. Haris )
Kawat Kaki Wirawati Kompeni Alfa
Kawat Kaki Wirawati Kompeni Delta
Asisten Skuad Kawat Kaki Wirawati Kompeni Delta
( Fatin Hazwani Binti Mohd. Sudin )
Kawat Kaki Wirawati Kompeni Charlie
Kawat Kaki Wirawati Kompeni Bravo
Kawat Kaki Wira Kompeni Delta
Asisten Skuad Kawat Kaki Wira Kompeni Delta
( Muhd. Farid Aqwa Bin Azmi )
Kawat Kaki Wira Kompeni Charlie
Asisten Skuad Kawat Kaki Wira Kompeni Charlie
( Muhd. Sufyan Bin Hamdan )
Kawat Kaki Wira Kompeni Alfa
Kawat Kaki Wira Kompeni Alfa
Asisten Skuad Kawat Kaki Wira Kompeni Alfa
( Cornelius Anak Tamin )
Kawat Kaki Wira Kompeni Bravo
Asisten Skuad Kawat Kaki Wira Kompeni Bravo
( Leny Ho Bin Abdul Karim ) 
Tuan Komandan Kem PLKN Warisan Mejar Zurkafli Bin Karim ( TUDM )
Sedang Menerima Laporan Kumpulan Kawat Kaki
Tuan Komandan Bersama Timbalan Komandan Pengurusan
Sedang Menonton Kawat Kaki Setiap Kompeni
Para Hakim Pertandingan Kawat Kaki
Kompeni Mana yang Akan Menang Hadiah-Hadiah Ini ?
Cheng Cheng Cheng !
Kompeni Delta Johan Keseluruhan
Pertandingan Kawat Kaki
Kompeni Bravo Johan Bagi Kategori Wira
Pertandingan Kawat Kaki
Kompeni Alfa Johan Bagi Kategori Wirawati
Pertandingan Kawat Kaki
Kompeni Alfa Memenangi Tempat Ketiga
Bagi Kategori Wira Pertandingan Kawat Kaki
Pelatih yang Tidak Terlibat dalam Pertandingan Kawat Kaki
Memberikan Sokongan Moral kepada Kompeni Masing-Masing  
Barisan Atasan Pengurusan Kem PLKN Warisan , Masjid Tanah , Melaka
  Melainkan kawat kaki , satu aktiviti lagi yang pasti terlintas dalam minda kita pabila sebut PLKN iaitu aktiviti menembak . Pada awalnya , saya amat takut akan aktiviti menembak bukan kerana takut diri tertembak oleh orang lain ( atau sebaliknya ) tetapi takut akan kesakitan sentakannya . Saya teringatkan konsep momentum dan recoil velocity ( halaju sentakan ) daripada subjek Fizik . Dalam buku teks Fizik , apa yang ditunjukkan ialah repolper ( biasanya halaju sentakan repolper adalah lebih kurang 20 m / s ) . Bayangkan apa yang diguna pakai dalam PLKN pula ialah senapang M 16 !      

  Untuk pengetahuan anda , latihan menembak dikendalikan oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia ( ATM ) dan bukannya daripada kalangan jurulatih PLKN . Beberapa hari sebelum aktiviti menembak , anggota ATM dari Kem Terendak telah datang ke Kem PLKN Warisan untuk mengajar kami teknik-teknik menembak dan minhaj pengendalian senjata api . Teorinya memang senang didengar , tetapi praktikalnya ?

Latihan Menembak di Dewan Pinggiran Linggi
Wirawati Zaman Sekarang Berani Menembak !
Cikgu Tairudin Menunjuk Ajar Cara Menembak 

Pelatih Perlu Menembak Sasaran Pada Papan
dengan Setepat Mungkin
  Bagi aktiviti menembak ini , kami semua pelatih telah dibahagikan kepada dua kumpulan , yakni kumpulan pelatih bukan Muslim bersama pelatih Muslimat manakala satu kumpulan lagi adalah kumpulan pelatih Muslimin . Maka , kumpulan pelatih Muslimin pergi menembak di Kem Terendak pada hari Jumaat ( dan terus pergi solat Jumaat selepas aktiviti tersebut ) sementara kami bersama pelatih Muslimat pergi untuk menembak pada hari Isnin . Awal-awal pagi lagi , kami telah bangun dan bersiap sedia untuk " tayar bergolek " ke lapang sasar Kem Terendak . Kali ini merupakan kali kedua kami melawat ke Kem Terendak tersebut selepas aktiviti berenang . Di sana , kami dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil bergiliran untuk menembak . Semasa satu kumpulan sedang menembak , kumpulan yang seterusnya akan menunggu di barisan belakang . Sebelum naik ke benteng untuk menembak , barisan pelatih perlu meluruskan barisan mengikuti sasaran menembak masing-masing dan menanggalkan tali pinggang sendiri demi aspek keselamatan . Apabila sampai giliran kumpulan saya , mungkin disebabkan perasaan cemas , saya terus buru-buru naik ke benteng tanpa menunggu di barisan untuk menanggalkan tali pinggang seperti pelatih-pelatih lain . Hal ini telah merimaskan komando di benteng depan saya ( Mungkin beliau takut saya ada masalah mental ? Haha ! ) lalu mengarahkan saya untuk berada di belakang benteng tanpa sebarang pergerakan dengan nada tegasnya . Malu benar saya pada masa itu ! 

  Apabila saya naik ke benteng untuk menembak , komando itu minta saya ( masih dengan nada tegasnya ) agar bernafas sedalam-dalamnya . " Kau jangan nervous ! Relax saja ! " kata komando . Saya hanya mampu mengangguk sambil mengiakan seperti seorang bawahan yang buat silap ditegur oleh taukenya . 

  " Okey , kau dengar sini ! Tadi kawan kau yang menembak kat point saya ni dapat markah 82 % ! Kau nak dapat markah yang lebih tinggi daripada dia tak ! ?  " tanya komando .

  Saya hanya senyum sumbing sambil mengangguk kendatipun saya kurang mengiktikadkan pencapaian saya dalam aktiviti menembak sebentar lagi .

  " Okey ! Kalau kau nak capai markah tinggi , kau kena dengar cakap aku ! Faham ? Apa dia ? Dengar cakap aku ! " arah komando saya . 

  " Faham , tuan ! "

  " Jangan panggil aku ' tuan ' ! Panggil ' encik ' cukup ! " Kena tegur sekali lagi ! Haha .      

  Checking , briefing , memakai ear defender , meniarap , buat gaya askar sedikit konon ... dan akhirnya , menembak ! 

  " Kiri sikit ! "

  " Kanan sikit ! "

  " Kekalkan ! " ( Mula-mula saya tidak " faham " arahan ini kerana tidak mengecam bunyinya akibat das senapang yang kuat . )      

  Semasa penembakan , tangan yang tidak menembak perlu memegang fore grip , dengan jempol membentuk sudut V bersama keempat-empat jari yang lain . Pegangan fore grip tidak boleh terlalu keras , sekadarkan memastikan laras tidak goyang . Bahagian gagang senapang pula perlulah menempel ke pangkal bahu untuk mengurangkan efek sentakan senapang . Setiap pelatih diberikan 30 butir peluru hidup untuk menembak sasaran yang disediakan di lapang sasar , yang mana 10 butir peluru digunakan dalam latihan manakala 20 butir lagi akan dikira markah bagi pertandingan menembak antara kompeni . Apabila penembakan saya tamat , komando menyuruh saya bacakannya markah yang tertera pada skrin komputer .

  " 67 % , encik ! " Cover di atas komputer telah menghalang cahaya syamsu yang terang , menyebabkan saya tidak dapat melihat markah pada skrinnya dengan izhar . 

  " Ha ! ? Tengok betul-betul ! 87 % tu ! Puas hati ? " Nada komandan masih tegas , namun kali ini , senyuman terukir di bibirnya . Cukup manis ! Sebelum turun dari benteng , komando itu acap kali memperingatkan saya tentang namanya , Encik Fitri .

  Terima kasih ya , Encik Fitri !   

  Meskipun saya berasa gementar pada mulanya , malah takut akan kesakitan yang mungkin terasa akibat sentakan senapang M 16 , namun , saya berasa seronok dan lebih yakin selepas beberapa das tembakan saya lepaskan . Penggunaan peluru hidup dalam aktiviti menembak ini sesungguhnya merupakan satu pengalaman baharu yang amat berharga . Lantaran itu , rata-rata pelatih yang saya temui selepas aktiviti tersebut melahirkan hasrat untuk menembak sekali lagi jikalau diberi peluang . Begitu jua dengan diri saya . Maklumlah bukan senang untuk kita mendapat peluang sedemikian kecuali kita menyertai pasukan beruniform seperti tentera atau polis .     

Bersama Sahabat-Sahabat Di Dataran Tembak Kem Terendak 
  Kompeni saya merupakan kompeni yang " terunik " dalam pertandingan menembak ini kerana wira yang mendapat markah tertinggi dan markah terendah bagi aktiviti menembak semuanya berada dalam kompeni Alfa ! Terdapat dua orang wira yang memperoleh markah lebih 90 % sementara markah paling rendah yang dicapai oleh wira Alfa adalah kosong ! Kosong ! Kosong ! Timbalan komandan latihan kami pun berasa hairan akan mata nol rakan seperjuangan saya itu . Kata pelatih tersebut , komando yang mengawasinya hanya memberitahunya bahawa dia telah menembak sasaran pelatih lain selepas penembakannya sudah tamat . Haha ! Bertuah sungguh saya tidak bersama komando tersebut !

  Hatta , sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Fitri yang cukup hebat itu !      

  Sepanjang Program Latihan Khidmat Negara kami di Kem PLKN Warisan , kami telah menyertai empat persembahan dan hanya persembahan majlis malam penutup yang tidak dikategorikan sebagai pertandingan .

  Persembahan pertama yang kami pelatih terlibat ialah Kontrak Kita Janji ( KKJ ) . Apakah KKJ ? KKJ umpama pengenalan atawa manifesto keempat-empat kompeni terhadap seluruh warga kem PLKN . Dalam KKJ ini , kami diminta untuk mentakhlikkan identiti tersendiri bagi kompeni masing-masing seperti nama , bendera , logo , lagu dan sorakan semangat kompeni . Sementelahan , kami perlu merangka matlamat , perjanjian , visi dan misi serta langkah-langkah keselamatan setiap kompeni yang juga merupakan sebahagian daripada KKJ . Hampir seminggu para pelatih berbincang dan memerah keringat untuk menghasilkan sesuatu yang pokta dalam persiapan KKJ kompeni masing-masing . Kerja yang paling memeningkan kepala kami ialah kerja untuk menghasilkan bendera kompeni . Hal ini dikatakan demikian kerana kain yang disediakan oleh pihak kem demi kegunaan bendera kompeni amat besar . Maka , kami mewarnai bendera kompeni sedikit-sedikit dan meninggalkannya di Dewan Pinggiran Linggi untuk disambung pada keesokan harinya . Tugasan lain pula kami siapkan pada kertas mahjung di bilik penginapan masing-masing sehingga lewat malam . Bayangkan saat-saat kami pelatih yang sama dorm menyiapkan tugasan KKJ berpandukan cahaya lampu suluh ( pelatih wajib memadamkan lampu bilik penginapan pada jam sebelas malam ) sambil bergurau senda atau berpesta makan di dalam dorm . Bahagia , bukan ? 

Bendera Kompeni Bukan Sahaja
 Lambang Suatu Kompeni ,
Malah Menyatupadukan Ahlinya

  Persembahan KKJ setiap kompeni mempunyai keunikan dan kelemahannya . Ada ahli kompeni yang malu , ada ahli pula berani semasa mempersembahkan pembentangan KKJ mereka . Di dalam kem saya , kompeni Alfa telah menamai kompeninya Kesatria Merah manakala Ekspedisi dijadikan sebagai nama kompeni Bravo . Kompeni Charlie pula menggelarkan kompeni mereka sebagai Singa Belantara dan kompeni Delta menggunakan nama Perisai Selatan sebagai identiti baharunya .

Pembentangan Bendera-Bendera Kompeni
Alfa ( Merah ) , Bravo ( Biru ) , Charlie ( Kuning ) , Delta ( Hijau )
  Pembentangan KKJ kompeni saya cukup istimewa kerana persembahan kami ada muzik latar iaitu muzik gamelan dan muzik tradisional peranakan Cina ( Baba Nyonya ) yang dipilih daripada pemacu pena ( pendrive ) saya . Saya menjadi pengacara majlis bagi kompeni saya . Mula-mulanya , salah seorang jurulatih kompeni Alfa , Cikgu Farah binti Mat Said tidak yakin akan bakat saya untuk menjadi pengacara majlis ( walaupun beliau tidak berkata begini , namun saya mengerti perasaannya daripada ekspresi wajahnya ) . Walau bagaimanapun , setelah salah seorang handai saya ( kami berkenalan semasa pertandingan bahas ala parlimen bahasa Inggeris peringkat daerah ) , wirawati Noor Nabilah binti Adnan cuba melakukan provokasi untuk menyakinkan Cikgu Farah terhadap potensi saya ( tambahan lagi kepetahan saya bertutur dalam bahasa Melayu ) , barulah beliau mengizinkan saya menjadi pengacara kompeni Alfa . Hatta , saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Cikgu Farah kerana beliaulah orangnya yang memustaidkan satu rangka teks ucapan bagi saya sebagai panduan . Teks ucapan saya dalam persembahan KKJ kompeni Alfa adalah seperti berikut :

  " Yang Berbahagia Komandan Kem PLKN Warisan negeri Melaka Darul Azim , Mejar Zurkafli bin Karim ( TUDM ) , yang dikasihi Timbalan Komandan Pengurusan , Kapten Mohd. Shahid bin Sulaiman ( TUDM ) , yang dihormati Timbalan Komandan Latihan , Kapten Bersara Mohd. Salleh bin Mahat , panel juri , staf-staf pengurusan , para jurulatih serta wira dan wirawati sekalian . 
  Salam sejahtera , Salam Cinta Negara , Salam Perpaduan , Salam Kesukarelaan , Salam Khidmat Negara , Salam Satu Malaysia dan Salam Satu Alfa ! Saya Wong Xian Jun selaku pengacara majlis kompeni Alfa bagi kumpulan 1 siri 11 / 2014 .

          Duduk bermadah tuan puteri ,                  Sambil berteduh sinar panahan ;                                               Pembinaan pasukan nama terpateri ,                           Antara kompeni menjadi taruhan .    
  Tanpa melengahkan masa lagi , saya menjemput wakil ahli kompeni Alfa untuk membentangkan segala hasil titik peluh kerjasama ahli-ahli kompeni Alfa yang telah dipersetujui ramai iaitu nama kumpulan , moto , slogan , matlamat , strategi , metadologi dan langkah-langkah keselamatan .
  Dengan segala hormatnya , dipersilakan .   

( pembentangan KKJ kompeni Alfa )
Hadirin dan hadirat sekalian ,
  Adalah tidak lengkap seandainya tiada kata-kata pembakar semangat bagi seluruh ahli kumpulan Kesatria Merah untuk menempa kejayaan kompeni yang terbaik . Maka dengan itu , saya menjemput ahli kumpulan Kesatria Merah untuk tampil ke pentas bagi menyampaikan sorakan mantap serta diiringi lagu oleh ahli-ahli kumpulan Kesatria Merah . Dipersilakan !

( sorakan semangat dan lagu kompeni ALfa )
  Dengan sorakan sebentar tadi , maka berakhirlah hujah-hujah pembentangan pembinaan pasukan bagi kompeni Alfa .
  Saya Wong Xian Jun selaku pengacara majlis kompeni Alfa kumpulan 1 siri 11 / 2014 mengakhirinya dengan serangkap pantun :

Sayang che' nyonya menganyam jerami ,
Bersama nakhoda hati nan lara ;
Sekian sahaja persembahan kami ,
Apa yang pasti Alfa juara ! 
  Sekian , terima kasih . "

  Walhasil , kompeni Alfa memang telah merangkul juara dalam persembahan Kontrak Kita Janji dengan sinergi seluruh ahli kompeni Alfa ! Alfa ! Mantap mantap lagi ( sorakan semangat kompeni Alfa ) !     

Pembentangan Bendera Kompeni Kompeni Alfa
Pembentangan KKJ Kompeni Alfa
Pembentangan Elemen Langkah-Langkah Keselamatan
Kompeni Alfa
Pembacaan Ikrar Kompeni Alfa
Tuan Komandan Memasangkan Bendera Kompeni Alfa
Secara Rasmi
Pembentangan KKJ Kompeni Delta
Logo Perisai Selatan Kompeni Delta
Tuan Komandan Memasangkan Bendera Kompeni Delta
 Secara Rasmi
Bendera Ekspedisi Kompeni Bravo

  Selepas keputusan pertandingan persembahan KKJ diumumkan , ketua unit disiplin Kem PLKN Warisan , Pegawai Waran Udara II Nor Shahrizan bin Senen telah meminta para pelatih untuk merealisasikan apa-apa sahaja yang telah dijanjikan oleh setiap kompeni tanpa sebarang kompromi . Bak kata Hanie Soraya , menyanyi biar dari hati , berjanji biar pasti ! Pada saat inilah , para pelatih menjadi serba salah kerana kami telah berjanji macam-macam perkara dalam KKJ ! Alamak !  
Tatu Karya Saya Pada Badan Sahabat-Sahabat Atas Permintaan Mereka
( Bosan Tak Ada Kerja Nak Buat ! Haha )
  Persembahan yang kedua kami sertai ialah persembahan Majlis Malam Citra Puisi Program Pemantapan Sastera dan Budaya anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP ) ekoran daripada Program Penghayatan Sastera dan Budaya ( PPSB ) yang merupakan salah satu komponen PLKN . Program PPSB berkiblatkan matlamat utama untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda Malaysia serta memapankan integrasi nasional antara rakyat pelbagai kaum di nusa tercinta ini . Merenung sejenak memikirkan rasionalnya , desakan hidup kadangkala menyebabkan kita terlalu sibuk mengejar kemewahan duniawi . Tempiasnya , kita sering lupa akan obligasi diri terhadap budaya mulia bangsa masyrik kita . Sesungguhnya , kebudayaan merupakan satu soal fundamental dalam pembangunan sesuatu bangsa kerana kebudayaan itu sendiri ialah pancaran daripada etos sesuatu bangsa . Oleh itu , program PPSB ini juga bermatlamat untuk memperkukuh jati diri bangsa Malaysia di samping meningkatkan apresiasi terhadap sastera dalam kalangan mujtamak khususnya generasi muda ke arah pembinaan khalayak sastera .  

  Modul pengajaran PPSB dibahagikan kepada dua hari . Pada hari pertama , kami didedahkan kepada falsafah dan konsep program tersebut . Sukatan pelajaran PPSB pada hari pertama juga merangkumi kesantunan berbahasa , penghayatan puisi tradisional dan puisi moden , penginterpretasian puisi serta pemahaman kosa kata dan aspek sebutan . Ketua fasilitator PPSB bagi kem kami , Encik Ahmad Zau Awi bin Che Kob telah mencurahi para pelatih mualamat literatur Melayu . Kami diberitahu bahawa puisi merupakan karangan berangkap yang mengandungi kata-kata terbaik penuh dengan perasaan dan imaginatif yang membawa makna sebanyak mungkin dalam perkataan yang seringkas mungkin . Sebagaimana yang kita ketahui , terdapat beberapa jenis puisi dalam kategori puisi tradisional yang dikenali sebagai sastera lisan yang berkembang dalam kesenian rakyat . Antaranya pantun , syair , gurindam , seloka , bahasa berirama , nazam , mantera , teromba , masnawi dan rubai . Sementara itu , jenis puisi yang digolongkan sebagai puisi moden pula iala sajak . Banyak ilmu kesusasteraan telah dihadiahkan oleh Encik Zau Awi . Pada hemat saya , ilmu tersebut ibarat sekotak harta karun , tetapi mempraktikkan ilmu itu merupakan kuncinya . Maka , pada sebelah petang , Encik Zau Awi telah membuat satu kejutan dengan mengumumkan pengadaan pertandingan mendeklamasi sajak dan melagukan puisi tradisional dalam bentuk persembahan pada malam keesokan harinya . Menurut Encik Zau Awi , peluang ini adalah suatu platform bagi pelatih mengaplikasikan segala teknik penyampaian puisi yang telah diajarinya dalam persembahan nanti . Apa yang lebih mengejutkan saya adalah saat para pelatih ( terutamanya rakan seperjuangan kompeni Alfa ) melaung-laungkan nama saya " Wong ! Wong ! " apabila Encik Zau Awi menyampaikan hasratnya hendak memilih seorang wira dan seorang wirawati sebagai pengacara majlis persembahan PPSB tersebut ( pasangan pengacara majlis saya ialah Lidya Najiha binti Nasarullah ) . Sukatan pelajaran dalam sesi kedua pada waktu petang hari pertama PPSB ialah taklimat dan pembahagian tugasan , pembentangan konsep persembahan kumpulan serta pengurusan acara dan gerak kerja berkumpulan .
        
  Bertitik tolak daripada itu , pelatih keempat-empat kompeni bersaing sekali lagi untuk membuat persiapan yang sadu bagi menempa kejayaan dalam pertandingan PPSB ini . Pada waktu malam hari pertama PPSB , kami telah mengimplementasikan latihan kumpulan dengan bimbingan fasilitator Encik Zau Awi . Pagi esoknya , kami melakukan persiapan akhir dan menjalankan raptai penuh persembahan pada petang yang berikut . Sesungguhnya Encik Zau Awi banyak mengorbankan masanya bersama pelatih . Beliau menemani kami dari pagi hingga malam ( balik selepas latihan tamat ) dan datang ke kem kami semula pada pagi esoknya . Bayangkan kondisi beliau pulang ke rumahnya ( rumah Encik Zau Awi jauh juga dari kem ) selepas persembahan kami malam-malam melalui " karpet merah " ladang kelapa sawit ! Gelap-gelita !   

  Memandangkan sikap dedikasi ketua fasilitator kami , para pelatih berazam untuk menampilkan bakat dan kreativiti tiap-tiap kompeni dalam membuat persembahan pentas dengan sebaik mungkin . Elemen-elemen persembahan telah kami gabungkan secara berpasukan dalam pementasan puisi masing-masing . Pertandingan pada malam tersebut mempunyai dua pusingan iaitu manifestasi puisi tradisional secara berkumpulan mengikuti judul puisi setiap kompeni bagi pusingan pertama ( ramai sebut " sayembara puisi " , sebenarnya adalah salah kerana " sayembara " bererti " pertandingan , peraduan " , bukannya bererti perbuatan menyampaikan puisi ) manakala pendeklamasian sajak solo ( wakil daripada empat kompeni ) bagi pusingan kedua . Salah satu persembahan selingan yang juga klimaks sepanjang malam persembahan PPSB iaitu pendeklamasian sajak daripada Cikgu Ahmad Sibi bin Amin . Suara Cikgu Sibi amat " menggerunkan" ! Suara Cikgu Sibi sehebat Gunung Kinabalu ! Suara Cikgu Sibi suara seorang lelaki sejati ! 


Barisan Pengurusan Kem PLKN Warisan bersama En. Zau Awi
Menonton Persembahan Pelatih
Apakah yang Begitu Menarik Perhatian Wirawati Ini ha ?
Sampai Ternganga , Wira !
Wira Eng Kian Ping , Kompeni Charlie
Menyamar Sebagai " Gadis Idaman Teruna "
Demi Persembahan Kompeninya
Persembahan Kompeni Alfa
 Babak " Pak Kaduk Menyabung Ayam " Dipersembahkan
Kompeni Alfa 
 
Persembahan Kompeni Delta
Persembahan Kompeni Bravo
 Persembahan Kompeni Bravo
Persembahan Kompeni Charlie
Para Jurulatih Juga Terhibur Akan Persembahan Pelatih
Pelakon-Pelakon Kompeni Delta
yang Berpakaian Pakaian Celoreng
  Terdapat tiga tempat yang dipertandingkan bagi setiap kategori pertandingan PPSB iaitu kategori mendeklamasikan sajak , kategori melagukan puisi serta kategori persembahan terbaik keseluruhan . Saya tidak pasti kompeni mana yang menjadi juara dalam ketiga-tiga kategori tersebut ( tetapi apa yang pasti Alfa bukan johannya ) , namun saya sangat mengingati perbezaan markah yang begitu kecil sekali ( lebih kurang 0.5 markah sahaja ) antara kompeni yang menjadi johan dan naib johan ( kompeni Delta johan dan kompeni Alfa naib johan ) bagi kategori persembahan terbaik keseluruhan . Sayang benar kompeni Alfa tidak melepasi markah perpuluhan itu !

  Walau bagaimanapun , menang dan kalah hanya babak-babak kehidupan kita . Apa yang mustahak adalah para pelatih sedar akan tanggungjawab fsendiri untuk memartabatkan seni dan budaya bangsa kita serta bahasa Malaysia bahasa kebangsaan negara kita yang tercinta . Hal ini persis madah bujanggi Melayu , budi bahasa budaya kita . Bahasa jiwa bangsa !

  Pertandingan dalam bentuk persembahan yang para pelatih sertai buat kali ketiga ialah Pertandingan Semarak Semangat Patriotisme . Setiap kompeni memperoleh tajuk yang berbeza . Kami diminta mempersembahkan sebuah drama berpandukan tajuk masing-masing dan satu persembahan selingan  ( uswahnya dikir barat , nyanyian dan bicara berirama ) yang berunsurkan elemen-elemen patriotisme . Saya sungguh senang hati dalam pertandingan kali ini kerana saya tidak perlu membuat apa-apa ( saya hanya duduk di depan pentas dan menghayati persembahan kompeni saya ) ! De facto , saya sengaja " memencilkan " diri dalam muzakarah kompeni Alfa yang berkaitan dengan persembahan tersebut kerana saya penat nian menghadapi pertandingan-pertandingan persembahan sebegini . Namun , hal ini bukan bererti saya tidak memberi sebarang musaadah kepada kompeni saya dalam pertandingan ini . Muzik latar belakang drama dan sajaknya adalah saya cari dan simpan dalam pemacu pena saya semasa cuti Tahun Baru Cina ( tajuk drama pertandingan ini telah diberikan oleh jurulatih sebelum cuti ) . Sebenarnya , para pelatih yang lain juga agak senang hati semasa perbincangan atau latihan diadakan kerana tempoh dua minggu telah diberi oleh jurulatih untuk melakukan ancang-ancang persembahan . Oleh itu , masa selepas jam sembilan malam ( solat Isyak ) selama dua minggu itu ialah masa latihan kami di dataran kawat . Masa inilah sesetengah wira mengambil kesempatan untuk " menceriakan " anak-anak dara idaman mereka di dataran asmara kem ini . Romantik , bukan ? Haha ! Masa inilah jua masa pelatih yang sudah berpasang-pasangan memancarkan nur bakat dan kepemimpinan bersama maksyuk mereka dalam kompeni . Bagaimana pula jika seseorang wira itu masih bujang ? Hah , apa lagi , pergi mencari member di kompeni lainlah ! Haha !  


Pentas Dewan Pinggiran Linggi Semasa
Pertandingan Semarak Semangat Patriotisme
Tuan Komandan Menerima Laporan
 Daripada Pemegang Tiga Balak , Wira Cornelius
Penyanyian Lagu Kebangsaan , Negaraku
Para Pelatih Dengan Kostum Masing-Masing 
Pasangan Pengacara Majlis ,
Wira Ammar Dan Wirawati Fatin

Penyokong Kompeni Kompeni Alfa
Persembahan Kompeni Delta
Bertemakan Penjajahan Jepun
Persembahan Kompeni Delta
Kehidupan Orang Kampung yang Aman Damai
Kehidupan Orang Kampung yang Bahagia
Sebelum Kedatangan Penjajah Jepun
Kedatangan Penjajah Jepun Memusnahkan
Keindahan Tanah Air Kita 
Penduduk Tempatan
Dibunuh , Diseksa , Dizalimi Penjajah Jepun
Cikgu K Bersama AJK Pertandingan Membersihkan Pentas
Selepas Props Gelas Kompeni Dihempas Pelakon
Tentera Penjajah Jepun yang Suka Berfoya-Foya 
Tentera Penjajah Jepun Merogol dan Membunuh
Penduduk Wanita Tempatan
Askar Melayu Menyerang Askar Jepun
Mempertahankan Tanah Air Kita
Peperangan :
Kalah Jadi Abu , Menang Jadi Arang
Simbolik Konfrontasi Antara
Pihak Penduduk Tempatan dan Penjajah Jepun yang Zalim
Akhirnya , Penjajah Jepun Ditewaskan !
Persembahan Kompeni Charlie
Bertemakan Pengganas Komunis di Tanah Melayu
Ketua Pengganas Komunis ( Wira Eng Kian Ping )
Melapor Kepada Tuan Komandan
Kreatif !
Pengganas Komunis Menzalimi Penduduk Tempatan

Ketua Pengganas Komunis Sedang Memberi Anak-Anak Buahnya
Arahan Dalam Bahasa Cina
Pengkhianat Pengganas Komunis Ditangkap  
Ketua Pengganas Komunis Memberi Anak Buahnya Hukuman 
Jangan Sekali-Kali Mengkhianati Komunis !
Kita Komunis , Kita Bersaudara !
Anggota Komunis yang Mengkhianati Ketuanya Sendiri
Akan Ditembak Mati
Askar Melayu Bersedia Untuk
Menyerang Kubu Pengganas Komunis

Boleh " Pengganas Komunis " Ini Bergelak Lagi di Bawah Pentas ?
Haha Tidak Real Langsung !
Ketua Pengganas Komunis Memberi Arahan Dari Bawah Pentas
Teknik yang " Melibatkan " Penonton Ini Amat Real dan 3D
Akhirnya Pengganas Komunis Tertewas Jua
Persembahan Selingan Kompeni Alfa
Dikir Barat
Wira Muhd. Haziq Bin Mohd. Yusni dan
Wira Mohd. Hasrul Bin Mohd. Ismail
Tukang Karut dan Tok Juara Kumpulan Dikir Barat Kompeni Alfa
Konduktor Kumpulan Dikir Barat Kompeni Alfa
Persembahan Dikir Barat Kompeni Alfa
Melibatkan Pelatih Pelbagai Kaum
Persembahan Kompeni Bravo
Hasil Bravo Film Production 
Anak-Anak Zaman Sekarang yang
Kurang Memahami Sejarah
Wira Muhd. Amirrudeen Bin Fauzi
Sebagai Datu Patinggi Abang Haji Abdillah
Mesyuarat Antara Ketua-Ketua Tempatan
Untuk Mempertahankan Kedaulatan Sarawak
Datu Patinggi Abang Haji Abdillah Memimpin Rakyat Tempatan
Untuk Menentang Penjajahan British Di Sarawak
Datu Patinggi Abang Haji Abdillah Memberitahu Isterinya
Tentang Hasratnya Untuk Menentang British
Kedatangan Sir James Brooke ke Sarawak
Disambut Sesetengah Rakyat Tempatan
Pegawai Penjajah British Meminati Silat Ya ? Haha
Wira Leny Ho Bin Abdul Karim
Sebagai Sir James Brooke
Datu Patinggi Abang Haji Abdillah yang Menentang British
Ditahan dan Dibunuh oleh Pihak Penjajah British 
Jenazah Allahyarham Datu Patinggi
Diusung Pulang ke Rumah Beliau
Eh , Boleh Pula Datu Patinggi " Hidup Balik " ! ?
Bangun Sebab Takut Terjatuh ! Haha
Isteri Datu Patinggi yang Sudah Lanjut Umurnya
 Sedih Atas Pemergian Suaminya
The End
Persembahan Selingan Kompeni Delta
Melagukan Sajak
Mengharukan !

Persembahan Kompeni Alfa
Rakyat Tempatan Menentang Pengenaan Cukai
oleh Pihak Penjajah British
Rakyat Tempatan Mengadukan Pengenaan Cukai British
kepada Tok Janggut
Tok Janggut Meneliti Syarat-Syarat Cukai
Pihak Penjajah British
Pegawai British Memberi Anak Buahnya
Arahan Pengenaan Cukai 
Ada Suruhan Pegawai British Dibunuh Rakyat Tempatan
yang Dipimpin Tok Janggut
Tentera Suruhan British Melaporkan Kes Penentangan
Rakyat Tempatan kepada Pegawai British
Rakyat Tempatan yang Menentang Pengenaan Cukai
Dibunuh Pihak Penjajah British
Tok Janggut Memimpin Rakyat Tempatan untuk
Menentang Pengerasan oleh Pihak British
Tok Janggut Dibunuh Pihak British
dan Jenazahnya Digantung Terbalik
Depan Orang Ramai  
Barisan Pengurusan Kem dan Para jurulatih
Begitu Kagum Akan Persembahan Setiap Kompeni
Perhubungan Erat Antara Pelatih dan Jurulatih
Cikgu Khairiyah ( Cikgu K )
Wira Goh Qi San , Wirawati Vennessa Neo Jia Yi
  Pada 8 hb Mac , Kem PLKN Warisan telah menyertai Pertandingan Sketsa Muzikal Patriotik Peringkat Zon D PLKN anjuran Kem PLKN De Bana bertempat di Dewan Serbaguna Felda Jaya Raja Alias Selatan Negeri Sembilan Darul Khusus . Pelatih yang terserlah bakatnya dalam lakonan sebelum ini telah terpilih untuk mewakili kem kami masuk pertandingan sketsa tersebut . Saya salah seorangnya . Sanya , masa untuk kami membuat persiapan bagi menghadapi pertandingan ini agak mendesak . Hal ini dikatakan demikian kerana tarikh pertandingan sketsa muzikal tersebut adalah lebih kurang dua minggu selepas Pertandingan Semarak Semangat Patriotisme . Maka , kelas minggu selepas Pertandingan Semarak Semangat Patriotisme ( jika tidak silap saya adalah kelas Modul Kebudayaan dan Modul Keagamaan ) tidak dapat kami ( anggota kumpulan sketsa wakil kem ) sertai . Para pelakon , penyajak dan pekerja belakang tabir telah mula bertiwikrama selama seminggu lebih . Tajuk yang dipersetujui oleh majoriti anggota kumpulan sketsa adalah " Lans Koperal Saimon Tarikat " . Sebenarnya , saya tidak berapa suka akan tajuk ini kerana Lans Koperal Saimon Tarikat tidak dikenali ramai . Selain itu , pada ijtihad saya ( selepas saya sendiri menganalisis tema " sketsa muzikal patriotik " ) , konsep sketsa ini tidak semestinya mempunyai jalan cerita dan berdialog . Bagi saya , sketsa muzikal ini seyogianya menegaskan nyanyian dan tarian , seperti suatu pementasan gabungan elemen patriotisme dengan seni abstrak . Saya ingin berkongsi pendapat saya ini dengan rakan seperjuangan saya , namun suara hati itu hanya sampai ke kerongkong lalu ditelan balik apabila saya lihat gaya sesetengah wira yang masing-masing ingin menjadi kepala dalam kumpulan sketsa kami . Akhirnya , babad yang diputuskan untuk kami gunakan sebagai cerita sketsa kami ialah kejadian pertempuran Lans Koperal Saimon Tarikat dengan pengganas komunis semasa menjalankan operasi di Kampung Titi . Ceritanya lebih kurang begini . Anggota PKPT seramai 12 orang telah diatur gerak dalam misi khas di Kampung Titi berdasarkan maklumat mengenai aktiviti pengganas komunis . Dalam keadaan samar pada waktu malam , Lans Koperal Saimon bersama seorang rakannya melihat dua orang pengganas komunis sedang menuruni bukit . Tanpa berlengah mereka membuat serangan dengan melepaskan beberapa das tembakan . Pada waktu itu , seorang pengganas wanita telah menjerit untuk memberi amaran agar kawannya melarikan diri . Dalam situasi genting itu , Lans Koperal Saimon dengan beraninya merangkak dan menaiki teres bukit menghampiri wanita tersebut untuk membunuhnya . Walau bagaimanapun , tindakannya itu telah menarik perhatian seorang pengganas lelaki yang terus menembak Lans Koperal Saimon . Tempiasnya , beliau terkorban dalam pertempuran tersebut .
Cikgu K Bermain-Main Dengan Props Kami
 Haha
Kepenatan Sebagai YB Selaku Penyajak Sketsa Meniduri Saya  
  Cikgu Siti Khairiyah ( atau lebih dikenali sebagai Cikgu K ) merupakan salah seorang jurulatih yang sering menemani kami semasa latihan sketsa diadakan . Beliau banyak membimbing kami serta memberi kami tunjuk ajar yang membina . Saya juga menyanjung tinggi rakan-rakan yang bertanggungjawab dalam menghasilkan segala props ( peralatan keperluan drama ) yang diperlukan pelakon . Sesungguhnya mereka mempunyai kreativiti yang hebat . Idea yang heterogen telah dibincangkan oleh mereka dalam modus operandi menghasilkan props sketsa dengan iltizam diri mereka yang mantap . Di samping itu , sorakan semangat dan nama kumpulan sketsa kami juga terlahir daripada kreativiti anggota kumpulan sketsa ini . Nama kumpulan kami ialah " Komodo Power " . Kenapa ? Kata mereka nama ini diambil atas biawak-biawak yang selalu berkeliaran di tebing Sungai Linggi tepi dewan makan kami ! Haha ! Kreatifkan rakanku ? Begitu jua dengan sorakan semangat kumpulan sketsa kami :
Kami Sang Bedal Komodo yang kacak ! ( Kacak ! ) Kacak ! ( Kacak ! ) Kacak ! ( Kacak ! )                      Kami Sang Bedal Komodo yang ayu ! ( Ayu ! ) Ayu ! ( Ayu ! ) Ayu ! ( Ayu ! )                             Sang Bedal ! ( Wo , wo , wo ! )               Komodo ! ( Wo , wo , wo ! )                       Sehati sejiwa ! ( tepuk tiga kali )           *ulang sekali lagi 
Komodo Power !
( Pelakon Kedua Dari Kiri , Amirul Asyraf
Sebagai Lans Koperal Saimon Tarikat )
  Saya bersama lima orang pelatih lagi merupakan penyajak dalam pementasan sketsa ini . Kumpulan penyajak akan tampil ke pentas seorang demi seorang dan mendeklamasikan sajaknya dalam babak jenazah Lans Koperal Saimon Tarikat diusung pulang ke rumah beliau . Sajak yang kami deklamasikan ini ( seorang satu rangkap ) ialah karya wira Harith Hazim bin Zulkifli ( pelatih kompeni Delta ) . Sayangnya , saya tidak menyimpan semua rangkap madah sajak yang diberikan kepada kami . Saya hanya ada rangkapan sajak bahagian saya :
 Darahmu ,                                                  mengalir membasahi wajahmu ,                              yang dulunya hanya                                          dipenuhi titisan keringat ;                              yang dulunya indah ;                                      yang dulunya rupawan .
Cikgu K acap kali memperingatkan kami tentang kepentingan penghayatan kami terhadap kisah Lans Koperal Saimon . Ujarnya , penghayatan daripada kami ini akan mempengaruhi emosi penonton semasa mereka menyaksikan pementasan sketsa kami . Walau bagaimanapun , saya tidak nampak elemen konsep " sketsa muzikal " dalam persembahan sketsa kami . Sebagai misalan , apabila Lans Koperal Saimon bersama rakan seperjuangannya menyerang pengganas komunis lalu beliau ditembak oleh salah seorang komunis , situasinya lebih cenderung kepada konsep " drama " . Cadangan saya adalah saat Lans Koperal Saimon ditembak , slow motion perlu digayakan oleh watak tersebut dan juga komunis yang menembaknya . Pada masa yang sama , lagu latar belakang yang sesuai boleh dimainkan . Kondisi ini akan menonjolkan saat genting dalam pertempuran tersebut dengan cara yang lebih mujarad . Sebenarnya saya masih tidak boleh terima jalan cerita ini sebagai isi sketsa muzikal kami kerana cara penyampaian jalan cerita kami ini tidak sepadan dengan konsep " muzikal " . Saban kali sebelum latihan sketsa , pelatih Islam akan membaca doa rabitah ( saya amat suka akan melodi doa rabitah ini ) , lamun saya tidak nampak hubungan integrasi ( kata Cikgu K adalah chemistry ) antara anggota kumpulan sketsa . Semuanya ingin menjadi kepala dalam kumpulan . Sementelahan , pengarah sketsa kami , wira Cornelius jua tidak memainkan peranannya dengan efektif . Jujurlah , saya tidak beranggapan dia layak untuk menjadi pengarah sketsa  . Sememangnya tidak dapat dinafikan , Cornelius mempunyai corak kepemimpinan yang unik . Dia boleh memimpin satu pasukan menuju ke peringkat yang akhiar dalam apa-apa situasi jua tanpa mengira sesiapa yang ada dalam kumpulannya . Tetapi bagi saya , orang yang menjadi pengarah sketsa bukan sahaja perlu mempunyai kepemimpinan , bahkan mempunyai jiwa estetika yang kuat . Pengarah sketsa kami ini memang hebat dalam aktiviti fizikal akan tetapi tidak hebat dalam bidang seni . Maka , setiap kali munculnya apa-apa pendapat daripada jurulatih yang datang menonton persembahan latihan kami , konklusi Cornelius hanya satu : penghayatan ! 

  " Okey ! Apa-apa pun , menghayat ... ? " ( kami akan jawab beramai-ramai " ... ti ! " ) 

  " Menghayat ... ? " ( " ... ti ! " )

  Dia langsung tidak faham akan konsep " sketsa muzikal " ! Tiada kelemahan atau kekurangan gaya pelakon akan ditegurnya .

  Walau bagaimanapun , Cornelius ialah orang yang dipilih jurulatih untuk menjadi pengarah sketsa . Saya tidak bolehlah mengkritiknya , bukan ? Apa yang fundamental , saya sendiri perlu menampilkan prestasi yang terbaik dalam pementasan pada kali ini ! 

  Pagi-pagi lagi , anak-anak Komodo Power telah bangun . Jika saya tidak silap , jam enam setengah pagi kami sudah bersarapan di dewan makan . Bersemangat betul ! Pada jam tujuh pagi ( pelatih-pelatih lain baru nak bangun ) , kami pun sudah " tayar bergolek " ke Negeri Sembilan . 

  Agi idup agi ngelaban ! ( Padahal kami mengantuk di dalam bas . Haha ! )    

  Sebelum kami tiba di Dewan Serbaguna Felda Jaya Raja Alias , bas telah singgah di sebuah stesen minyak . Beberapa orang wira tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk menambah stok " dua karton " di kem ! Minta maaflah rakan-rakanku , tindakan anda terbongkar dalam blog saya ( saya tidak merokok , saya tidak terlibat ) ! Haha ! Dalam kem kami , " dua karton " bererti " rokok " . Kisahnya begini :
  Seorang wira ( pelatih kompeni Bravo ) telah membawa dua karton rokok berjenama Canyon masuk ke kem semasa hari lawatan keluarga pada hari Ahad . Benar kata orang tua-tua , sepandai-pandai tupai melompat , sekali akan gawal juga . Malangnya ( bagi wira itu kiranya malanglah ) , penyeludupannya itu terbongkar lalu kedua-dua karton rokok itu pun dirampas oleh pihak pengurursan kem . Hatta , sejak hari itu , pada setiap kali waktu telefon bimbit dipulangkan kepada para pelatih , Lans Koperal Shahril Mat Noor ( lebih dikenali sebagai " encik polis " ) akan bergurau senda dengan kami .
  " Baik , siapa nak handset dia ? Hah , jangan bising . "
  " Ya, encik ! "
  " Ada siapa-siapa mahu ' dua karton ' ? Banyak ni ! " ( sambil senyum )
  Kita satu dataran kawat pun gelak tertawalah ! ( Sebenarnya sehingga sekarang , saya masih tidak tahu siapa orangnya yang membawa " dua karton " itu . ) Maka , sejak kes ini , " dua karton " pun bereti " rokok " dalam kalangan wira kumpulan 1 siri 11 / 2014 Kem PLKN Warisan ! Haha !  
Alangkah baiknya jikalau rokok benar-benar boleh merangsang anak-anak jantan Komodo itu untuk mereka menerjah kemenangan dalam pertandingan sketsa . Tetapi ...
Khemah yang Disediakan Sebagai
Tempat Pelakon Menyalin Kostum Mereka
Pelakon-Pelakon Nakal Sketsa
Kem PLKN Warisan
Bersama Wira Ammar , Askar Komodo Jantan
Haha !
Kumpulan Sketsa Komodo Power Kem PLKN Warisan
Go Go Go !


Tahun 60-an ! Haha !
  Apabila kami tiba di lokasi pertandingan , ratusan orang termasuk para pelatih dari kem-kem PLKN Zon D telah sampai . Deretan kanopi telah didirikan di lapangan sebelah dewan serba guna dan berbagai-bagai makanan serta minuman ada dijual di sana . Sejajar dengan itu , pihak penganjur juga mengadakan aktiviti derma darah , pameran kesihatan , pameran Agensi Antidadah Kebangsaan ( AADK ) dan pameran Briged Sukarelawan Khidmat Negara ( BSKN ) . Kemeriahannya sehebat keriaan di Jom Heboh ! Namun apa yang lebih luar biasa di sini adalah kehadiran " askar-askar " pelbagai zaman ( pelakon yang berpakaian kostum perajurit ) , daripada tentera Jepun , tentera British , pengganas komunis sehinggalah mata-mata Malaya . Kami seolah-olah telah melalui terowong masa Doraemon ke zaman pramerdeka !   


Pelatih Kem PLKN De Bana Membimbing Para Penonton
Bagi Menyanyikan Lagu Negaraku
Koir Pelatih Kem PLKN De Bana 
Ketibaan Para Tetamu Kehormat
Dewan Serbaguna Felda Jaya Raja Alias
 Dibanjiri Wakil Kem-Kem PLKN Zon D
  Kumpulan Komodo Power memperoleh angka giliran yang kedua terakhir dalam pertandingan sketsa . Oleh itu , kami berpeluang untuk menyaksikan persembahan sketsa kem PLKN yang lain . Kata orang , sudah terang lagi bersuluh , pementasan kem-kem lain cukup menarik ! Props mereka jauh lebih hidup ( real ) daripada props kami . Izharnya , latar pentas mereka adiwarna dan berbeza-beza mengikut babak yang berlainan . Jika babak yang sedang dipersembahkan adalah berkaitan dengan kebakaran di kampung , maka latar pentasnya akan digantikan dengan latar pentas yang ada lukisan situasi kebakaran di kampung bersama bunyi latar barang terbakar . Pementasan mereka cukup mempesonakan !
Persembahan Sketsa Muzikal Kem PLKN yang Lain
Props Kem PLKN yang Lain Sungguh Real 
Konsep Sketsa Muzikal Idaman Saya
Dipentaskan oleh Kem PLKN yang Lain
Cantik Nian Background
Kumpulan Sketsa Kem PLKN yang Lain , Bukan ?
Kem PLKN Seri Perkasa Kejuaraan Team Juara Cintaku,
Cinta Tanahairku 1969
Hanya Kem Ini yang Mencapai Konsep Sketsa Muzikal Pertandingan
Para Pelatih Begitu Bersemangat
Sehingga Berdiri Di Atas Kerusi Menyanyikan Lagu IM4U
    

  Sebenarnya , Cikgu K pernah menangis sebelum tiba giliran persembahan kami . Cikgu K berasa bersalah apabila beliau melihat persembahan kem-kem lain yang semuanya hebat-hebat belaka . Katanya , beliau tidak tahu semua kem dibenarkan datang ke dewan ini untuk membuat raptai sehari sebelum tarikh pertandingan . ( Kem-kem lain semua ada melakukan raptai di dewan ini  . ) 

  Nasi sudah menjadi bubur ...

  Sekarang tibalah giliran Kem PLKN Warisan untuk mempersembahkan sketsa muzikal mereka yang bertajuk " Lans Koperal Saimon Tarikat " ! Anak-anak Komodo , serang !

  Keputusannya ? Angkan giliran kami adalah kedua terakhir , kan ? Tempat yang kami peroleh adalah ketiga terakhir ! Hai , rezeki kami setakat ini sahaja ! ( Tapi , janganlah sedih . Semua wakil kem mendapat hamper . Haha ! )
Semangat Komodo Power Tidak Pernah Lenyap
 Walaupun Tidak Menang ! Haha 
Anak-Anak Komodo Sedang Bersorak Gemuruh 
Semangat Satu Malaysia !
Penyajak :
Naveen Kumar A/L Selvarajah , Saya dan
Amar Bin Khalidi 


Jom Balik Kem !
Jom Jom Jom ! Jom Balik ke Kem ! 
Anak-Anak Komodo dan AJK Pelatih Tuan Rumah
Kem PLKN De Bana Bersalaman
Wira John Sim Zhe Qin Terpaksa Memakai Coli
yang Disediakan Cikgu K Kerana Menyamar Sebagai
Pengganas Perempuan Komunis 
Beristirahat Di Sebuah Masjid Sebelum Terus Pulang Ke Kem
Bersama Sahabatku , Teo Kai Feng
Cahaya-Nya Menerangi Muka Bumi Ini

  Pada satu malam ( waktu selepas solat Isyak ) , jurulatih telah membuat pengumuman ( via sistem pembesar suara pejabat urus setia ) meminta pelatih-pelatih yang nama mereka dipanggil untuk berkumpul di depan pejabat dengan segera . Nama saya jua ada disebut ! Adakah saya tersilap apa-apa ? Lumrahnya hukuman yang paling teruk bagi seseorang pelatih khususnya pada waktu malam ( yang paling saya benci ) adalah memakai uniform celoreng penuh ( lebih dikenali sebagai " full loreng " ) ! Perasaan khuatir sudah mula menggoncang ketenteraman jiwa saya ! Perasaan gelisah sudah mula menghantui minda saya ! Ya tuhan ...

  Apabila saya sampai di depan pejabat , muka yang saya nampak di sana baik-baik belaka . Contohnya pemegang tiga balak wira , Cornelius , pemegang dua balak wirawati kompeni Alfa , Nabilah , pemegang dua balak wira kompeni Alfa , Amirul , pemegang satu balak wirawati kompeni Delta , Shi Qing dan lain-lain ( semasa jurulatih memanggil nama , saya sedang leka dengan rakan sebilik saya lalu saya tidak tahu pelatih siapa yang ada dipanggil sekali ) . Saat inilah kalbu saya baru lega . Walau bagaimanapun , kami semua masih tertanya-tanya tujuan kami diminta untuk berkumpul di pejabat .    

  Akhirnya salah seorang jurulatih baru memberitahu kami bahawa pihak kem ingin memilih calon-calon YB bagi simulasi pilihan raya nanti ! 

AJK Jurulatih Simulasi Pilihan Raya :
Selamat Datang Ke Wilayah Pulau Pening 
  Bagi saya , aktiviti PLKN inilah yang mendatangkan kesan nan mendalam kepada saya sehingga kini iaitu simulasi proses pilihan raya dalam elemen kerajaan Modul Kenegaraan . Proses simulasi ini menggunakan prinsip " saya dengar saya lupa , saya lihat saya ingat dan saya buat saya faham " . Dalam konteks ini , kami menjalani simulasi proses pemilihan pemimpin secara praktikal daripada pembubaran Dewan Rakyat , penamaan calon , berkempen , proses pengundian , pengiraan undi sehinggalah pembentukan kerajaan . Untuk pengetahuan anda , simulasi proses pilihan raya di Kem PLKN Warisan makan masa selama empat hari sahaja . Pembubaran parlimen , penamaan calon dan pengisytiharan manifesto dilakukan pada hari Jumaat , manakala proses berkempen dijalankan pada hari Sabtu dan Ahad . Pengundian dan pengumuman keputusan pilihan raya pula akan berlaku pada hari Isnin . Simulasi ini diharap mampu meningkatkan kematangan para pelatih PLKN sebagai bakal pengundi ketika kami membuat pemilihan kelak serta memberi kefahaman kepada kami tentang kepentingan penglibatan kami dalam proses demokrasi yang diaplikasikan di Malaysia . Maka , seantero pelatih PLKN terlibat secara langsung dalam proses pemilihan " kerajaan mini " di dalam kem via sistem demokrasi negara kita .   

  Semasa kelas Modul Kenegaraan , jurulatih pernah menyebut simulasi pilihan raya yang akan diadakan di dalam kem sebagai pembelajaran elemen kerajaan modul tersebut . Pada masa itu , saya menanggapinya sebagai ceramah ilmiah tentang prosedur pilihan raya sahaja . Namun , pada saat inilah semangat saya untuk menyertai simulasi pilihan raya tersebut berkobar-kobar semula apabila saya dipanggil untuk  temu duga calon YB !

  Soalan yang ditanya oleh jurulatih temu duga kami , Cikgu Armuazam senang-senang belaka . Salah satu soalannya ialah cita-cita . Sebenarnya saya boleh memberi jawapan " peniaga " atau jawapan-jawapan lain yang biasa , namun saya ingin jujur akan diri saya . Maka saya kata saya ingin menjadi ahli politik . Manalah saya tahu pertanyaan seterusnya yang dilontarkan Cikgu Armuazam adalah " Siapakah nama ketua menteri Melaka sekarang ? " Alamak ! Saya pernah menghafal nama bersama gelaran beliau masak-masak semasa saya menduduki pentarafan Pengakap Raja , tetapi perkara itu hampir setahun yang lepas ! Tambahan pula , minda saya akan kosong pabila saya cemas hati . Apa yang lebih teruk , saya telah terlupa akan nama ketua menteri negeri Melaka walaupun nama pendek beliau sahaja ! Hanya bayang-bayang huruf " I " dan huruf " H " serta huruf " S " dalam ingatan saya ! Cemas ! Saya cukup cemas !

  " Awak keluar tengok siapa nama ketua menteri Melaka sekarang , " suruh Cikgu Armuazam dengan air mukanya yang tidak sabar lagi .

  " Awak kenal tak siapa ketua menteri Melaka ? " tambah Cikgu Armuazam .

  " Kenal , kenal , cikgu ... " saya senyum bertunduk lalu dengan malunya keluar dari bilik temu duga untuk melihat nama ketua menteri negeri Melaka yang ada pada dinding ruang tetamu pejabat .

  " Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Idris bin Haron , cikgu ... " jawab saya apabila masuk semula ke dalam bilik .    

  Selepas temu duga kesemuanya calon sudah tamat , Cikgu Armuazam telah memilih beberapa orang daripada barisan kami untuk menjadi calon YB simulasi pilihan raya nanti . Akhir sekali , tinggallah saya , Cornelius , Amirul , Marshall , Kian Ping dan seorang pelatih Melayu lagi ( saya sudah lupa siapa dia ) yang belum dipilih bagi barisan calon YB wira . Beberapa tempat sahaja yang masih kosong untuk diisi sebagai calon YB .  

  " Awak rasa siapa layak menjadi calon YB ? " tanya Cikgu Armuazam kepada beberapa orang jurulatih yang turut berada di sana . 

  " Saya rasa budak ni boleh ... tapi ... " kata salah seorang jurulatih perempuan .

  " Dia mungkin boleh ... tapi budak itu pun boleh rasanya ... "

  " Haha ! Peninglah otak saya nak pilih mereka ni hah ... "

  Semua jurulatih yang berada di pejabat pada masa itu tidak boleh memberi satu jawapan .

  " Baiklah , macam ini , saya akan tanya jurulatih-jurulatih yang lain ... nanti saya akan maklum kepada awak semua ... " ujar Cikgu Armuazam akhirnya .

  Sebagaimana yang saya ketahui , Amirul telah dipilih oleh jurulatih keesokan harinya . Saya pula dimaklum oleh seorang staf pengurusan di depan semua pelatih semasa beliau memberi sedikit taklimat mengenai elaun pelatih dalam perhimpunan ( roll call ) pada waktu riadah kami . Saya selalu beranggapan bahawa saya merupakan " pilihan terakhir " ( last choice ) jurulatih-jurulatih yang ditanya Cikgu Armuazam . Hal ini dikatakan demikian kerana semasa Cikgu Armuazam berjumpa dengan kami semua calon YB , beliau berkata " Awak bukan saya yang pilih tahu ? Jurulatih lain yang pilih . " Setiap kali beliau berkata begini , matanya akan memandang saya ! Beliau sudah mengulangi ayat ini beberapa kali pada masa yang berbeza dan di tempat yang berbeza . Tetapi saban kali beliau mengucap ayat ini , matanya akan memandang saya ! Saya ini tidak layakkah untuk menjadi calon YB ! ? Jurulatih-jurulatih memilih saya sebagai calon YB secara terpaksakah ! ? Geram benar saya dibuatnya ! Maka , setiap kali Cikgu Armuazam berkata sebegitu , saya akan bersumpah dalam hati saya : 你一定要赢给他看 ( buktikan bahawa kau boleh menang ) !  


  
  Pada petang yang saya dimaklumkan oleh staf pengurusan itu sebagai calon juga , Cikgu K telah berjumpa dengan kami ( calon-calon YB bagi Parti Kunci ) untuk membincangkan strategi parti kami . Katanya , parti yang terdapat di kem ini ialah Parti Kunci dan Parti Traktor . Cikgu K ialah penasihat parti kami , Parti Kunci . Calon-calon YB wakil Parti Kunci ialah Lidya Najiha binti Nasarullah ( calon YB D.U.N Waris ) , Logenth A/L Rajapandiyan ( calon YB D.U.N Baidu ) dan saya ( calon YB Parlimen Masta ) . Calon-calon YB dalam Parti Traktor pula ialah Lee Shi Qing ( calon YB Parlimen Masta ) , Noor Nabilah binti Adnan ( calon YB D.U.N Baidu ) dan jua Muhd. Amirul Asyraf bin Abdul Razak ( calon YB D.U.N Waris ) . Maka , saya vs Shi Qing ; Lidya vs Amirul ; Logenth vs Nabilah . Dalam perbincangan , Cikgu K bertanya kami tentang isi-isi yang boleh dijadikan sebagai isi manifesto Parti Kunci . Saya berfikir dengan tenang ... lalu saya pun mendapati satu keistimewaan parti kami .

  " Wong , kenapa awak ni ? " tanya Cikgu K apabila beliau lihat saya yang seolah-olah tidak fokus kepada perbincangan kami .

  " Cikgu , jangan risau . Wong memang macam ni . Haha ! Dia sedang fikirkan sesuatu idea yang hebat-hebat ... " kata Lidya . Lidya yang sudah kali kedua bekerjasama dengan saya ( kali pertama kami bersinergi sebagai pasangan pengacara majlis PPSB ) teramat faham akan karakter diri saya .  

  " Cikgu , kami Parti Kunci mengamalkan semangat ' Satu Malaysia' . Parti Traktor tak ada calon YB Inida ... " kata saya tiba-tiba .    

  " Haah , betul la ... " mereka semua baru tersedar akan situasi ini .

  " Kankah saya dah kata ? Cikgu jangan risau haha ... " kata Lidya .

  " Oh ! Begini ya cara Wong nak cari idea-idea yang bagus ? " tanya Cikgu K sambil senyum sebagai tanda menyetujui pandangan saya .

  Sebelum perbincangan kami tamat , Cikgu K telah meminta kami untuk mencari seorang pencadang dan seorang penyokong bagi diri masing-masing . Tugas penyokong dan pencadang adalah seperti penolong ataupun setiausaha calon YB . Semasa hari penamaan calon nanti , mereka perlu bersama dengan kami untuk proses penamaan calon . Logenth tiada masalah dengan aspek ini kerana dia telah dipilih oleh jurulatih sebagai calon awal-awal lagi semasa temu duga . Pencadang dan penyokong Logenth telah ada . Saya dan Lidya pula adalah calon YB yang dipilih oleh jurulatih kemudian , malah adalah pengganti pelatih-pelatih terpilih yang lain . Oleh itu , kami berkelam-kabut untuk mencari penyokong dan pencadang kerana tinggal beberapa hari lagi untuk persiapan bagi hari penamaan calon YB ! Akhirnya , dengan jasa baik seorang wirawati kompeni Bravo , Arbayah binti Zakariya , masalah untuk mencari penyokong dan pencadang saya pun selesai . Mohd. Ammaraluddin bin Mohd. Daud ( wira kompeni Delta ) sebagai penyokong saya manakala pencadang saya ialah Muhd. Amirrudin bin Md. Jemali ( wira kompeni Charlie ) . ( Sebenarnya , saya mengingini Cornelius dan pemegang empat balak , Muhd. Khairin bin Jayaraj Ambrose untuk menjadi penyokong serta pencadang saya , tetapi Amirul telah membuat permintaan sebegini lebih awal semasa dia dipilih sebagai calon YB pada hari selepas temu duga . )     


Poster-Poster Calon YB Parti Kunci
Poster-Poster Calon YB Parti Traktor
Poster-Poster Simulasi Pilihan Raya Ditampal Di Merata Kem
( Gelanggang Futsal )
Tangga Ke Kawasan Dorm Wirawati 
Poster Pihak SPR Memisahkan
Poster Parti Kunci dan Poster Parti Traktor
Poster Saya
Poster YB Logenth
Poster Pihak SPR :
Mari Kita Mengundi !
  Pada hari Jumaat , semua pelatih kumpulan 1 siri 11 / 2014 sungguh gembira kerana pagi hari ini tiada sebarang kelas ! Apa yang lebih penting adalah kami pelatih boleh memakai pakaian bebas ( sopan dan kemas ) ! Kami tidak perlu memakai uniform kelas yang memanaskan tubuh kami itu ! Saya berasa kesian melihat pelatih yang bertugas sebagai kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR ) kerana mereka perlu memakai uniform kelas . Pelatih yang bertugas sebagai polis lagi teruk kerana mereka perlu memakai uniform celoreng separuh ( lebih dikenali sebagai half loreng iaitu baju Physical Training dan seluar celoreng dan but pepaku sekali ) ! Haha !


Anggota Polis Lelaki Simulasi Pilihan Raya
Anggota Polis Perempuan Simulasi Pilihan Raya
Ketua Polis Simulasi Pilihan Raya ,
Wira Mohd. Shafiq Bin Ahmad Berbincang Dengan Anak Buahnya
Untuk Menjalankan Tugasan Mereka
Para Pelatih ( Pengundi ) Sedang Mendengar
Ceramah Pilihan Raya
Bawa Bertenang ! Bawa Bertenang ! Haha
Polis Perempuan Sudah Tidak Terdaya Untuk Mengawal Keadaan 
Semangat Penyokong Kedua-Dua Parti Berkobar-Kobar
Kerani-Kerani Pengundian
Pegawai-Pegawai SPR
YB Wong ! Haha
Saya Bersama Borang A Kertas Penamaan Daripada Pihak SPR
Bersama Sahabat-Sahabat Saya
Bersama Anggota Polis Simulasi Pilihan Raya
Ketiga-Tiga Orang Calon YB Parti Kunci
Bersama Pencadang Serta Penyokong Masing-Masing
Pihak Polis Menerangkan Perkara yang Perlu Kami Calon YB Buat
Ketiga-Tiga Orang Calon YB Parti Traktor
Bersama Pencadang Serta Penyokong 
Calon YB Parti Traktor , Amirul Asyraf Bersama
Penyokongnya , Cornelius ( Pemegang Tiga Balak ) ,
Pencadangnya , Khairin Jayaraj ( Pemegang Empat Balak ) 
Calon YB Parti Traktor , Nabilah dan Shi Qing
Bersama Penyokong dan Pencadang Mereka
Calon-Calon YB Parti Kunci Bersedia Untuk
Sesi Penamaan Calon YB
Penamaan Calon YB Bagi Parti Traktor
Saya Bersama Pencadang dan Penyokong Saya
Menjalani Prosedur Penamaan Calon YB
Gambar Bersama Semua Calon YB Parti Kunci dan Parti Traktor Serta Pencadang dan Penyokong
bagi Kumpulan 1 Siri 11 / 2014 Kem PLKN Warisan
  Dalam simulasi proses pilihan raya ini , terdapat pihak media massa ( termasuklah media massa pihak Parti Kunci dan media massa pihak Parti Traktor ) , pihak SPR dan pihak polis . Tuan Komandan Kem PLKN Warisan , Mejar Zulkafli bin Karim ( TUDM ) pula berlakon sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengumumkan pembubaran parlimen . Suasana simulasi pilihan raya ini amat menyerupai suasana pilihan raya yang sebenar ! Sebelum surat kebenaran menampal poster parti diperoleh daripada pihak SPR , tiada sebarang poster diizinkan untuk ditampal di mana-mana lokasi dalam kem . Begitu jua dengan kebenaran untuk berkempen dan mengisytiharkan manifesto kami . Waktu inilah waktu pencadang dan penyokong memainkan rol mereka untuk membantu segala urusan calon YB masing-masing . Apakah rol kami yang sebagai calon YB pula ? Senyum dan bermesra dengan semua pelatih ( pengundi ) ! Realiti politik ! Haha !

  Selepas pelatih Muslimin pulang ke kem daripada solat Jumaat , pada jam tiga petang , tibalah saat yang dinanti-nantikan semua , iaitu sesi perisytiharan manifesto kedua-dua parti ! Teks ucapan manifesto saya telah saya " hafal " waktu Muslimin keluar untuk solat Jumaat mereka . Walau bagaimanapun , saya masih berasa cemas ! Rimas ! Gelisah ! Khuatir ! Takut ! 

 
Bersama Wira Lau Jia Wei
Calon-calon YB Parti Kunci dan Parti Traktor telah diminta duduk di tempat yang disediakan di dewan , Parti Kunci di sebelah kanan pentas manakala Parti Traktor di sebelah kiri pentas . Pabila Cikgu Armuazam menanyakan parti mana yang ingin tampil ke pentas dahulu untuk menyampaikan manifestonya , saya telah angkat tangan tanpa berasa ragu-ragu . Rakan-rakan Cina yang sebilik dengan saya misalnya Lau Jia Wei pernah memperingatkan saya tentang kepentingan isi manifesto " pemulangan telefon bimbit kepada pelatih secara awal " . Katanya , isi ini pasti juga isi manifesto kepada Parti Traktor . Oleh itu , saya perlu menyampaikan manifesto parti saya terlebih dahulu daripada Parti Traktor dan apa yang penting , isi tersebut mesti disebut sebelum parti yang berlawanan menyebutnya sebagai isi mereka . Ya ! Saya bersetuju dengan kata-katanya ( kendatipun saya tidak dapat merasai perasaan pelatih mendapat semula telefon bimbit secara awal kerana saya tidak membawa telefon bimbit ke kem sepanjang PLKN ) ! 
Saya amat menghargai cadangan membina yang diporsetelkan oleh rakan-rakan Cina saya ini . Ramai pelatih termasuklah Lidya , Logenth , para pengundi sehinggalah calon YB Parti Traktor sendiri beranggapan bahawa adalah akhiar jikalau parti yang berlawanan mengisytiharkan manifesto mereka dahulu . Bagi mereka , kondisi ini akan memberi mereka kesempatan untuk mengkritik isi manifesto pihak lawan . Walau bagaimanapun , saya masih angkat tangan merebut peluang untuk mendahului Parti Traktor dalam mengumumkan manifesto kami . Mujurlah Amirul , calon YB Parti Traktor menghulur tangannya ke arah kami Parti Kunci apabila Cikgu Armuazam melontarkan pertanyaannya kepada kami . Tidak perlulah saya " merebut " peluang ini lagi ! Haha !


Para Penyokong India Parti Kunci 
Para Penyokong ( Kompeni Delta ) Parti Traktor
Para Penyokong Parti Traktor Meniru Tindakan Saya
Dalam Menghasilkan Poster Multibahasa ! Haha
Para Penyokong ( Kompeni Charlie ) Parti Kunci
Para Penyokong ( Kompeni Bravo ) Parti Kunci
Para Penyokong ( Kompeni Alfa ) Parti Traktor
dan Seorang Penyokong ( Kompeni Alfa ) Parti Kunci ! Haha
" Parti Kumbang " Ciptaan Kompeni Charlie 
Penyokong Wirawati ( Kompeni Bravo ) Parti Kunci
Para Penyokong ( Kompeni Charlie ) Parti Kunci
Para Pelatih Sedang Menyanyikan
 Lagu Patriotik Modul Kenegaraan
Kunci Ke Traktor ?

  Saya sendiri faham akan peranan calon pertama yang memberi manifestonya di pentas . Peluang inilah peluang keemasan untuk saya menghidupkan suasana di dalam dewan dan sekali gus menyerantakan isi-isi manifesto logik yang boleh menyemarakkan semangat para pengundi . ( Sebenarnya suasana di dalam dewan sudah cukup meriah kerana para pengundi sudah tidak sabar ingin mendengar manifesto kami . ) Pada mulanya , saya bertanya kepada para pengundi " Pada pandangan anda , apakah erti YB ? " Majoritinya membalas saya dengan jawapan yang serius " Yang Berhormat ! " 

  " Salah ... bagi Parti Kunci , YB adalah ... Yang Berkhidmat ! " Serta-mertanya tepukan , sorakan , laungan dan teriakan seperti bom yang menghujani Dewan Pinggiran Linggi , seakan-akan mahu meletupkan dewan yang terindah ini !      

  " Ingat ! Tanpa kunci , traktor tak boleh hidup ! " Para pengundi mengiakan kiasan saya .

  " Lihatlah Parti Kunci ... kami adalah lebih layak menjadi parti pilihan anda kerana kami mengamalkan semangat ' Satu Malaysia ' ! Saya wakil Cina , Lidya wakil Melayu dan Logenth wakil India ! Namun parti lain ( Parti Traktor ) tidak ' Satu Malaysia ' langsung ! "

  " Hidup Kunci ! Hidup Kunci ! Ya ... Hidup YB Kunci ! " sorak para pengundi . Poster-poster buatan sendiri telah mula dikibarkan dengan penuh semangat di dalam Dewan Pinggiran Linggi ! 

  " Baiklah , bawa bertenang , bawa bertenang . Maka , saya mulakan manifesto saya yang pertama ... " saya sudah bersedia ( dari segi mental ) bagi " letupan bom " yang seterusnya . 

  " Jika anda mengundi Parti Kunci , kami berjanji akan memohon kebenaran daripada tuan komandan kem agar telefon bimbit pelatih dipulangkan pada setiap Jumaat malam ! " Seperti apa yang saya jangka , sekali lagi Parti Kunci dihujani oleh sorakan yang mampu menggemparkan seluruh Dewan Pinggiran Linggi ! 

  " Hidup Kunci ! Hidup Kunci ! " sorak para pengundi . Pada saat inilah , pastinya Lidya dan Logenth sudah faham akan sebab saya ingin mengisytiharkan manifesto kami terlebih dahulu . Pasti juga calon-calon YB Parti Traktor sedar akan kelemahan helah strategi mereka yang " memberi laluan " kepada saya ! Haha ! Terima kasih Lau Jia Wei !

  Pada petang itu , saya lebih " tertumpu " pada prakarsa provokatif untuk menghidupkan dewan dan merangsangkan semangat para pengundi terhadap Parti Kunci . Maka , manifesto yang sempat saya sampaikan semasa giliran saya hanya beberapa isi yang agak mudah dan logik kerana masa ucapan yang diberi telah tamat . Tamsilannya , saya berjanji akan berusaha untuk memohon jasa baik pihak pengurusan kem agar beberapa buah kipas dinding dipasang di tempat solat wirawati Muslimat di Surau Al-Amin jika Parti Kunci menang dalam pilihan raya . Selain itu , saya berjanji akan meminta perkhidmatan daripada pihak syarikat pengurusan Kem PLKN Warisan , Syarikat Warisan Baiduri Sdn. Bhd. agar makanan dan minuman waktu minum pagi dihantar ke kelas jurulatih multiskill masing-masing . Saya juga menyarankan supaya pintu dipasangkan di setiap bilik air wirawati bagi menggantikan langsir yang sedia ada . Manifesto saya yang seterusnya ...

  Tibalah giliran manifesto calon YB Parti Traktor pula , Lee Shi Qing . Masih ada beberapa isi yang logik lagi untuk disampaikannya . Selepas itu , tiba giliran manifesto Lidya . Saya tidak bimbang akan manifesto Lidya kerana saya pun sudah faham akan karakternya . Penampilan afal dan akwal Lidya penuh kesederhanaan . Jika saya tidak silap , calon YB Parti Traktor yang berucap selepas Lidya ialah Amirul . Hah , manifestonya cukup " hebat " ! Dia mahu kedai serbaneka 7-Eleven didirikan di sebelah kios kem , Kiosk Warisan jikalau Parti Traktor menang ! Haha ! Selain itu , Amirul akan memastikan jalan " karpet merah " diturap dengan tar jika kemenangan dicapai Parti Traktor dalam simulasi kali ini . Elaun setiap pelatih PLKN kem kami akan ditingkatkan lagi oleh Amirul jika Parti Traktor menang ! ( Nampaknya manifesto Amirul makin melampaui batasnya ! Haha ! ) Begitu juga dengan manifesto Nabilah . Ujarnya , jubin akan dipasang di lantai setiap bilik penginapan wirawati seandainya dia menang dalam pilihan raya ! 

  Sorakan " bu " telah dibuat oleh para pengundi berlanjut-lanjut sebagai tanda tidak menyetujui Parti Traktor . Yalah , siapakah akan mempercayai manifesto sebegitu lebih-lebih lagi daripada seorang pelatih sahaja ? Tidak logik langsung ! Mungkin anda tertanya-tanya sebab mereka ( Parti Kunci ) boleh mengeluarkan janji-janji yang kurang matang itu ? Hah , hal inilah dikatakan helah strategi saya ! Haha ! ( Terima kasih sekali lagi kepada rakan-rakan Cina sebilik dengan saya itu ! ) Memandangkan kebanyakan isi yang bernas ( terutamanya isi " pemulangan telefon bimbit pelatih secara awal " ) telah pun disebut oleh Parti Kunci , maka terpaksalah Parti Traktor mengeluarkan isi-isi " kedewasaan " tersebut yang tidak mungkin tercapai dalam tempoh beberapa minggu lagi di kem PLKN ! Apabila mereka terpaksa menyebut isi-isi sebegini lalu ditentang serta dibalah oleh para pengundi , masa inilah kesempatan kami Parti Kunci untuk mengkritik manifesto mereka ! Misalnya , bagi janji " jalan tanah merah ditukar ke jalan tar " Parti Traktor , saya telah mengkritiknya dengan mencadangkan surat rasmi permohonan yang hanya boleh kami sebagai pelatih buat berdasarkan kemampuan diri kami . 


Bersama Tuan Komandan Kem PLKN Warisan Melaka ,
Mejar Zurkafli Bin Karim ( TUDM ) 
  Wahai pembaca-pembaca blog saya , jujurlah saya memberitahu anda , sebenarnya isi-isi manifesto Parti Traktor yang tidak masuk akal itu , semuanya juga merupakan isi manifesto Parti Kunci ! Haha ! Mujurlah mereka menyebutnya terlebih dahulu disebabkan kebanyakan isi bernas telah kami sampaikan awal-awal lagi . Sebab itulah saya angkat tangan pada awalnya agar saya mendahului parti lawan untuk mengumumkan manifesto Parti Kunci !        

  Strategi manifesto inilah salah satu pengaplikasian taktik daripada falsafah perang Sun Tzu ( 孙子兵法 ) atau dikenali sebagai The Art of War dalam bahasa Inggeris . Walaupun saya tidak pernah membaca keseluruhan inti pati karya China tersebut , tetapi sebagai seorang anak Tionghua , saya masih tahu sedikit sebanyak asas strategi perangnya yang boleh diubahsuai dan diaplikasikan dalam urusan-urusan kita pada era moden ini . Terdapat satu prinsip dalam falsafah perang Sun Tzu yang mana mengajar kita bahawa " orang yang berjaya ialah orang yang mendahului orang lain sebelum berperang , manakala orang yang kalah ialah orang yang sudah berperang sebelum dia ingin mendahului orang lain " ( 胜兵先胜而后战 , 败兵先战而后求胜 ) . Kiasannya , sebelum saya " berperang " ( berlawan manifesto ) dengan Parti Traktor , saya perlu mendahului parti tersebut . Maka , saya pun angkat tangan mendahului Parti Traktor dengan memulakan manifesto penting saya iaitu " pemulangan telefon bimbit pelatih secara awal " serta mencederungkan para pengundi kepada pihak kami , Parti Kunci . Saya juga mengaplikasikan satu strategi lagi daripada falsafah perang Sun Tzu iaitu " tidak asyik memikirkan cara untuk menyerang orang lain , sebaliknya mempertahankan diri sendiri dahulu " . Dalam perspektif ini , saya tidak seperti calon-calon YB yang lain asyik memikirkan cara untuk " menyerang " pihak lawan lalu memberi laluan kepada mereka dengan mengharapkan pihak lawan akan menyebut janji-janji manifesto yang boleh dikritik , tetapi saya memikirkan cara untuk mempertahankan pihak Parti Kunci dengan merebut peluang menyampaikan janji-janji manifesto bernas dahulu agar janji-janji tersebut tidak dapat dikatakan sebagai janji manifesto pihak lawan . 

  Bagi saya , pembentangan manifesto Parti Kunci kami pada petang itu cukup hebat . Namun , ayat terakhir manifesto Logenth sudah " mencemari " kesempurnaan keseluruhan pembentangan manifesto Parti Kunci . Hah , mari kita mengobrolkan sedikit perwatakan Si Logenth ini !

  Sebenarnya , Logenth dipilih oleh jurulatih sebagai calon YB adalah disebabkan wajahnya . Logenth mempunyai air muka yang jikalau dipandang siapa-siapa , maka orang yang memandangnya pasti akan tergelak . Senang kata , muka Logenth " muka kelakar " seperti Mr. Bean ! Oleh sebab inilah , Cikgu Armuazam memilih Logenth dalam temu duga calon YB . Saya masih ingat lagi kata Cikgu Armuazam semasa beliau memilih Logenth " Saya pilih awak sebab muka awak ... macam kelakar ... awak ada fans ... ada gaya ... " Adakah kelahiran fizikal itu dikira oleh jurulatih sebagai kriteria seorang calon YB ! ? Hikmah di sebalik kata saya ini adalah , Logenth sememangnya tidak ada ciri-ciri seorang calon YB ! Dia tiada kepemimpinan dan kepetahan berucap serta idea-idea bernas . Dia cuma mempunyai wajah yang boleh membuat semua orang tergelak tanpa perlu berkata apa-apa lalu orang lain pun suka akan dia juga . Rasanya kelakar ! ( Walau bagaimanapun , Logenth merupakan ayam tambatan untuk menarik undian yang begitu banyak kepada Parti Kunci kerana dia memang ada ramai fans . )

  Okey , ceritanya sebegini . Adakah anda ingat lagi akan wira Jia Wei yang saya sebut sebentar tadi ? Dia memang seorang yang sangat membantu saya dalam " peperangan pilihan raya " ini . Jia Wei pernah memperingatkan saya untuk memberitahu Logenth agar tidak mengumumkan janji manifestonya " undi saya , esok hujan " ! Saya terkejut apabila Jia Wei memberitahu saya bahawa dia pernah terdengar Logenth " bergurau senda " bersama kawannya dengan janji tersebut sebelum simulasi pilihan raya . Jia Wei khuatir mungkin Logenth akan membawanya ke pentas juga pada hari manifesto nanti . ( Kan saya sudah kata , Logenth tidak cukup matang untuk menjadi calon YB ? Kami faham akan sikapnya yang " kurang siuman " . )    

  Malangnya , sebelum Logenth naik ke pentas untuk mengisytiharkan manifestonya , saya sudah lupa untuk menasihatinya agar tidak bercakap besar dengan janjinya itu ! Alamak !

  " Sekian sahaja manifesto saya ... kalau awak semua undi saya , besok akan hujan ! " Kali inilah kali pertama pengundi-pengundi menyorak " bu " terhadap Parti Kunci !         

  Logenth , o Logenth ! Manifesto Logenth inilah satu-satunya kesempatan bagi orang lain ( terutamanya pihak Parti Traktor ) mengkritik kami ! Ya , mungkin " janji " Logenth tersebut hanya gurauan , namun adalah tidak sesuai dalam simulasi pilhan raya , lebih-lebih lagi dalam situasi orang lain sedang menunggu peluang untuk mengkritik Part Kunci memandangkan pembentangan manifesto parti kami ( manifesto saya dan Lidya ) agak sempurna ! Disebabkan " janji " Logenth inilah , setiap kali nama Parti Kunci disebut , pasti ada orang yang membangkitkan isunya " Hujan ! Hujan ! Kita nak hujan ! " Sebagai seorang calon YB parlimen , saya seolah-olah merupakan ketua Parti Kunci . Lantaran kes Logenth , saya sering dilontarkan soalan " Mana hujan kami ? " bukan sahaja daripada para pelatih ( pengundi ) malah pihak media massa jua . Benar kata orang tua-tua , orang makan nangka , awak kena getah ! Geram !


Calon YB Parti Traktor , Shi Qing Bergaul Mesra Dengan Pengundi
Shi Qing Bersama Penyokong ( Kompeni Delta ) Parti Traktor
  Saya sebenarnya suka akan kewujudan " pihak media massa " yang mana peranannya dipegang oleh pelatih-pelatih terpilih . Pada luarannya , pihak media massa ini terbahagi kepada dua , yakni media massa pihak Parti Kunci dan media massa pihak Parti Traktor . Mereka akan melaporkan gosip kedua-dua parti tersebut dan menampalnya di papan kekuda parti masing-masing . Bagi saya , perkara ini ialah helah yang dimainkan oleh jurulatih ( seperti realiti politik negara jua ) untuk mempengaruhi fikrah dan mental para calon YB . Oleh itu , saya tidak membaca sebarang gosip yang dilaporkan oleh pihak media massa ( kecuali gambar-gambar kami yang ditampal sebagai kenangan haha ) . Setiap kali " wartawan " menanyakan reaksi atau pandangan saya terhadap sesuatu gosip , saya akan menjawab soalannya sebegini " Oh , yakah ? Saya tak tahu pula ... sebab saya tak baca  laporan awak ( pihak media massa ) di papan berita parti ... " Wartawan biasanya akan mencatat sesuatu dalam buku mereka sambil senyum sebagai tanda menyetujui cara saya yang tidak termakan helah permainan mereka . 


Papan Gosip Media Massa Parti Kunci
Papan Gosip Media Massa Parti Traktor
Gosip ! Gosip ! Gosip ! Haha
  Pada hari Sabtu keesokannya ialah hari kami pelatih melakukan khidmat komuniti di pantai ( saya sudah lupa akan nama pantainya ) . Para calon YB telah memanfaatkan peluang keemasan tersebut untuk berkempen dan bermesra dengan semua pelatih . Saya bertindak biasa sahaja , tidak drastik seperti calon-calon YB lain . Bagi saya , tindakan mereka yang berkempen secara drastik adalah hipokrasi . " Adakah dia buat baik seperti sekarang sebelum simulasi pilihan raya ? Menolong orang lain mengangkat barang , memberi pelatih bungkusan makanan , memuji kebaikan orang lain ... ada dia buat sebegitu sebelum ini ? Tak ada kan ? Hipokrit ... " Saya akan menjawab sebegini tiap-tiap kali ashab rapat menggesa saya supaya meneladani tindakan berkempen tersebut . Saya sendiri lebih suka akan tindakan berkempen yang biasa ( natural ) sahaja . Saya tidak akan " bersungguh-sungguh " untuk mempropagandakan janji saya atau memburukkan Parti Traktor . Maka , setiap kali pelatih-pelatih lain memanifestasikan tekad mereka untuk mengundi Parti Kunci , saya akan berkata " Eh , jangan tergesa-gesa membuat keputusan ! Fikir masak-masak dulu , teliti janji-janji manifesto kami ( Parti Kunci ) dulu sebelum memilih kami . " Selepas mendengar jawapan saya , lazimnya mereka akan lebih bertekad untuk mengundi Parti Kunci ! " Ya , ya Wong . Awak lebih matanglah dalam penjelasan kempen awak ... kami yakin akan kemampuan awak sebagai YB ! " Haha ! Taktik berkempen saya lebih efektif daripada calon-calon lain . Kenapa ? Hah , taktik ini dipanggil sebagai prinsip 以退为进 ( undur untuk maju ) . Taktik ini juga ada diperkenalkan dalam falsafah perang Sun Tzu . Maksudnya , jikalau kita ingin " mara " ( menuju ke depan untuk berjaya ) , kita bolehlah " berundur " ( bersikap sabar ) dan bertindak dalam peluang atau situasi yang sesuai untuk mencapai matlamat kita . Usaha yang agresif dan drastik tidak semestinya akan membawa kemenangan kepada kita . Sebagai aplikasi , makin saya tidak " memaksa " pelatih untuk mengundi saya , makin pelatih berazam mahu mengundi saya . 

  Kearifan mentaliti Sun Tzu ini amat mengagumkan , bukan ?

  Sebelum kegiatan khidmat komuniti tamat , majlis penutup telah diadakan . Dalam majlis penutup ini , para pelatih sungguh bersemangat . Kami telah menyanyikan lagu tema Satu Malaysia dengan gaya-gayanya sekali . Gegar satu dewan ! Orang besar yang merasmikan majlis penutup kami sudah teruja ! Tuan komandan kami pun teruja ! Encik Shahrizan lagilah teruja ! ( Jika saya tidak silap , simulasi pilihan raya ada disebut mereka yang berucap di pentas menyebabkan para pelatih telah meneriak-neriakkan nama Parti Kunci ! Haha ! ) Selepas balik ke kem , pihak pengurusan kem terus mengembalikan telefon bimbit kepada para pelatih pada petang itu jua . Parti Kunci sekali lagi disoraki pelatih-pelatih yang lain ! 


Para Pelatih Wirawati Melakukan Gaya Lagu Satu Malaysia
Gemuruh Nyanyian Pelatih Seluruh Dewan !
Kerjasama Pelatih Wira Dalam
 Melakukan Gaya Lagu Satu Malaysia 
Orang Besar Gembira ! Tuan Komandan Gembira !
Encik Shah Gembira ! Nanti Pelatih Pun Mesti Gembira ! Haha
  Bagi saya , sebenarnya pemulangan telefon bimbit pada petang itu bukan jasa Parti Kunci , tetapi adalah disebabkan kerjasama mantap yang diberikan pelatih dalam khidmat komuniti petang tadi . Manifesto kami itu mungkin memainkan peranan juga , tetapi pengaruhnya kecil sahaja ( kami calon YB Parti Kunci juga tidak menulis surat permohonan yang berkaitan kepada tuan komandan ) . Kondisi yang kebetulan berlaku ini telah meyakinkan pelatih terhadap kredibiliti calon-calon YB Parti Kunci ! Haha !   

  Pada hari Ahad pula , calon YB parti masing-masing melakukan usaha yang terakhir untuk mempengaruhi para pengundi . Poster-poster parti telah " menggantikan " simen yang ada pada dinding bangunan kem . Dalam ikhtiar berkempen bagi hari terakhir ini , kertas mahjung yang besar telah diguna oleh parti saya untuk memukabalahkan manifesto Parti Kunci dengan manifesto Parti Traktor . 

  " Janji Parti Kunci bagi pemulangan telefon bimbit pelatih secara awal telah tercapai ! Terima kasih kepada Encik Shah ! Tetapi di manakah 7-Elevannya ? " 

  " Janji Parti Kunci untuk memulangkan telefon bimbit saya secara awal telah tercapai ! Terima kasih atas jasa baik Encik Shah ! Namun , elaun dalam akaun bank saya masih tidak berlipat ganda ! Di manakah janji Parti Traktor ? " 

  Kakitangan Parti Kunci yang senantiasa menolong kami untuk menghasilkan poster-poster pilihan raya mencadangkan agar kertas-kertas mahjung provokatif ini ditampal di sekitar dataran kawat . Menurut pandangan mereka , adalah rugi jika kertas-kertas mahjung tersebut ditampal di sekitar lokasi hari lawatan keluarga ( iaitu kawasan bangunan logistik ) seperti apa yang saya porsetelkan kerana ibu bapa yang membacanya bukanlah orang yang akan mengundi pada hari Isnin esok . Namun , saya memandang perkara ini dari perspektif yang lain . Bagi saya , apabila ibu bapa yang datang ke kem pada hari lawatan keluarga nampak propaganda kami pada kertas-kertas mahjung itu , mereka pasti akan bertanya kepada pelatih tentang tujuannya . Masa inilah perbincangan mengenai simulasi pilihan raya ini akan berlaku antara pelatih dan ibu bapa mereka . Dalam konteks ini , ibu bapa bolehlah memberi anak-anak mereka panduan untuk mengundi parti yang sesuai . Rasionalnya , adakah ibu bapa akan meminta anak mereka untuk mengundi parti yang membuat janji manifesto nan tidak masuk akal ? Haha !

  Akhirnya strategi saya ini telah berhasil ! Apabila saya pergi ke kawasan bangunan logistik untuk memastikan kertas mahjung provokatif dan poster parti kami yang ditampal tiada masalah , saya terdengar dialog bisikan antara pelawat dan pelatih mengenai poster-poster yang ditampal pada dinding . 

  " Pak , dialah calon YB tu ... "

  " Parti Kunci lebih baik la nak ... "

  " Janji nak bina 7-Eleven ? ... tak mungkin ... "

  Ada pelawat yang sampai senyum serta mengucapkan selamat kepada saya ! Haha ! Saya sungguh beriktikad bahawa strategi saya pada kali ini pasti akan berjaya ! 

  Baiklah , mari kita analisis kecenderungan undian para pengundi setiap kompeni dan juga mengikut kaumnya lalu menaksir keputusan pilihan raya pada Isnin esok .

  Kompeni Alfa : Sebagaimana yang kita ketahui , terdapat dua orang calon YB Parti Traktor ( Amirul dan Nabilah ) adalah daripada kompeni Alfa , namun hanya saya seorang yang wakil kompeni Alfa dalam Parti Kunci . Maka , tidak dapat disangkal , majoriti pelatih kompeni Alfa akan mengundi Parti Traktor . Walau bagaimanapun , seperti yang saya kata , disebabkan saya juga anggota kompeni Alfa , oleh itu terdapat jua rakan-rakan kompeni Alfa yang akan mengundi Parti Kunci . Misalnya kebanyakan rakan yang sebilik dengan saya dan rakan Cina serta rakan India ( kerana Logenth adalah satu-satunya calon YB India dalam simulasi pilihan raya ini ) . Selain itu , saya pernah menerima khabar angin yang mengatakan bahawa terdapat sebilangan kecil wirawati kompeni Alfa yang kurang berpuas hati akan cara Nabilah . Saya sudah lama berkenalan dengan Nabilah sejak kali pertama kami berjumpa dalam suatu pertandingan bahas wakil sekolah menengah . Bagi saya , Nabilah tiada masalah . Dia seorang yang mesra dengan semua orang . Namun , khabar angin tersebut terbukti benar apabila salah seorang wirawati kompeni Alfa , Nurhidayah binti Osman telah datang kepada pihak kami dan banyak menolong Parti Kunci serta menjadi penyokong Lidya dalam sesi penamaan calon YB . Amirul sebenarnya juga tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada wira dan wirawati Alfa . Terdapat beberapa orang wirawati kompeni Alfa ( yang agak rapat dengan saya ) secara personalnya pernah memberitahu saya bahawa mereka berada dalam dilema kerana mereka tidak suka akan gaya Amirul yang ingin menjadi ketua dalam apa-apa kerja berkumpulan , pada masa yang sama , mereka ingin menyokong Nabilah . Maka , menurut golongan wirawati ini , mereka akan mengundi saya bagi bahagian parlimen tetapi menyokong Nabilah bagi bahagian D.U.N . Konklusinya , musaadah majoriti anggota kompeni Alfa terhadap Parti Traktor adalah suatu fakta yang tidak dapat dielak . Namun ( dalam jangkaan saya ) , musaadah daripada lebih kurang 20 % pelatih keseluruhan kompeni Alfa terhadap Parti Kunci ini juga amat memuaskan . 

  Kompeni Bravo : Undian kompeni Bravo kepada Parti Kunci boleh dikatakan mantap nian ! Lidya dan Logenth ( kedua-dua calon YB ini wakil kompeni Bravo ) adalah peramah dan tiada apa-apa masalah peribadi dengan anggota kompeni mereka . Tiada wakil kompeni Bravo yang menjadi calon YB di Parti Traktor . Dalam analisis saya , 100 % pelatih kompeni Bravo mengundi Parti Kunci !

  Kompeni Charlie : Hasil analisis kecendurangan kompeni Charlie terhadap kedua-dua parti amat menarik . Memandangkan kompeni Charlie adalah satu-satunya kompeni yang tiada wakil calon YB dalam mana-mana parti , maka " pasaran undian " kompeni tersebut merupakan pasaran yang senang dan wajib " dieksploitasi " ! Pada Jumaat pagi sebelum pembubaran parlimen , Cikgu Ahmad Sibi bin Amin ( jurulatih kompeni Charlie ) pernah memegang poster bercetak simbol Parti Kunci kami dan memperagakannya di pentas secara gurauan . ( Sebenarnya kami tidak dibenarkan berkempen lagi sebelum pembubaran parlimen . Tetapi tindakan itu adalah daripada seorang guru , bukan salah kami ya . Haha ! ) Cikgu Sibi secara diam-diamnya merupakan salah seorang penasihat Parti Kunci . Ramai pelatih suka akan cara Cikgu Sibi kerana beliau seorang yang selalu senyum kepada sesiapa sahaja dan tidak pernah memarahi mana-mana pelatih . Maka , tindakan beliau yang memperagakan poster Parti Kunci pada pagi itu telah menarik minat para pelatih terhadap parti kami dan sekali gus menyemarakkan semangat pelatih kompeni Charlienya untuk mengundi Parti Kunci . Tambahan pula , Cikgu Sibi merupakan jurulatih pertama yang secara tidak langsung memanifestasikan kecenderungan undiannya di depan kalangan pelatih . Pengaruh tindakan beliau memang kuat dan berkesan . Tempiasnya , mulalah munculnya wira-wira kompeni Charlie yang memakai baju T-shirt dengan tulisan mereka sendiri " Undilah Parti Kunci " pada baju tersebut . Selain itu , pencadang saya Amirrudin Jemali ( kompeni Charlie ) juga salah satu faktor yang mendorong rakan-rakan sekompeninya mengundi parti kami . Terdapat khabar angin yang mengatakan sebahagian daripada wira kompeni Charlie menyokong Parti Kunci kerana mereka tidak suka akan sikap Muhd Farid Aqwa bin Azmi ( wira kompeni Delta ) yang sering " menghuru-harakan " . Kebetulannya , Farid rapat dengan Shi Qing dan meminati Nabilah . Kiranya golongan wira kompeni Charlie ini boikot Farid dan segala yang diminatinya termasuklah Parti Traktor ! Haha ! Faktor-faktor lain yang saya ambil kira iaitu YB Logenth ( mukanya yang kelakar menyebabkannya mempunyai ramai " peminat " ) , ukhuwah intim yang terjalin dalam perhubungan yang mana kompeni Bravo sebagai pembekal " dua karton " utama dan kompeni Charlie sebagai salah satu pihak pembelinya , calon-calon YB Parti Kunci yang terdiri daripada tiga kaum dan tindakan liar Amirul yang merampas mikrofon saya semasa saya sedang berucap dalam sesi membalas kritik pihak lawan . Saya menjangka akan ada 97 % wira kompeni Charlie yang akan menyokong Parti Kunci . Kendatipun saya tidak pasti akan kecenderungan undian wirawati kompeni Charlie , namun saya yakin akan kecenderungan undian mereka terhadap Parti Kunci jua .     

  Kompeni Delta : Majoriti anggota kompeni Delta menyokong Parti Traktor kerana Shi Qing adalah satu-satunya wakil kompeni Delta dalam simulasi pilihan raya ini . Kondisinya umpama kondisi anggota kompeni Alfa menyokong Amirul dan Nabilah . Namun terdapat sebilangan kecil pelatih kompeni Delta yang jua kurang berpuas hati dengan cara Farid lalu memboikot parti pilihannya . Tambahan lagi , penyokong saya , Ammaraluddin Daud ( kompeni Delta ) yang mempunyai ramai buddy dalam kompeninya juga dapat menarik undian kompeni Delta kepada parti kami . Walau bagaimanapun , perwatakan pemegang empat balak , Muhd Khairin bin Jayaraj Ambrose ( kompeni Delta ) yang sebagai pencadang Amirul merupakan tulang belakang menunjangi " kesetiaan " kompeni Delta terhadap Parti Traktor . Disingkap dari perspektif yang lain , terdapat satu per empat daripada wira kompeni Delta ialah pelatih Cina . Mereka lebih menyokong saya daripada menyokong Shi Qing . Pada ijtihad saya , terdapat lebih kurang 18 % pelatih kompeni Delta yang akan mengundi Parti Kunci .

  Pengundi Melayu : Undian pelatih Melayu adalah bergantung pada kompeni masing-masing . Walau bagaimanapun , pengaruh wirawati pihak Parti Kunci ( khususnya wirawati kompeni Bravo ) terhadap kebanyakan wirawati kompeni Charlie dan sebilangan kecil wirawati kompeni Delta amat memuaskan . Jangkaan saya iaitu lebih kurang 58 % pelatih Melayu keseluruhan kem akan mengundi Parti Kunci .

  Pengundi Cina : Pada analisis saya , sebanyak 94 % pelatih Cina menyokong Parti Kunci . Saya sememangnya terharu apabila hampir setiap pelatih Cina semasa kami berjumpa di mana-mana aktiviti akan memberitahu saya " Wong , awak jangan risau , kami ( pelatih Cina ) akan sokong parti awak ! " Punca realitinya adalah kerana kebanyakan pelatih Cina di dalam kem saya beragama Buddhisme . Perhubungan antara kami terjalin erat terutamanya semasa perjumpaan dalam kelas keagamaan dan di tokong Cina . Shi Qing kurang bergaul dengan pelatih-pelatih Cina kompeni yang lain . Kurang lagilah peluang untuk dia mengeratkan persaudaraan dengan rakan-rakan Cina apabila kami ada kelas keagamaan kerana dia beragama Kristian . Dalam kalangan pelatih Cina Kristian pula , bukan semuanya menyokong Shi Qing kerana ada antara mereka yang menyokong Parti Kunci mengikuti member-member mereka yang mana kebanyakannya beragama Buddhisme dan berpihak ke Parti Kunci . 

  Pengundi India : Umum mempercayai fakta bahawa 100 % pelatih India akan mengundi Parti Kunci kerana Logenth adalah satu-satunya calon YB wakil pelatih India .             

  Nampaknya saya sudah pakar membuat analisis hala tuju undian dalam pilihan raya politik ! Haha ! Walau bagaimanapun , analisis ini semua hanya andaian saya sendiri yang tidak semestinya tepat sekali kerana segala pengundian adalah sulit dan tidak akan diketahui oleh orang lain kecuali diri pengundi dan juga tuhan .

  Namun , saya amat yakin akan potensi Parti Kunci untuk menang dalam simulasi pilihan raya ini ... 

  Hari Isnin merupakan hari pengundian bagi seluruh warga Kem PLKN Warisan , termasuklah para pelatih dan jurulatih-jurulatih serta pekerja Syarikat Warisan Baiduri yang menguruskan kem ini ( pihak polis dan kakitangan SPR telah menyetem pada hari Jumaat selepas sesi manifesto kedua-dua parti ) . Sebagaimana yang kita ketahui , tujuan simulasi pilihan raya ini adalah untuk memberi para pelatih pengalaman sebenar dalam pilihan raya . Maka , butir-butir simulasi tersebut telah dilakukan sebaik mungkin agar sama dengan realiti pilihan raya yang berlaku di negara kita . Misalnya , beberapa orang pelatih telah diminta jurulatih agar menyamar seperti golongan yang tunaanggota , warga emas dan ibu mengandung . Mereka ini akan dibantu oleh kakitangan SPR dalam modus operandi pengundian . Amirul sebagai calon YB Parti Traktor telah tampil ke depan " berpura-pura " untuk " menolong " mereka . " Pertolongan " Amirul kepada golongan ini bukan kepalang : mendukunglah , menuntunlah , mengesat peluh merekalah ... bermacam-macam usahanya ! Hipokrasi betul tindakan itu ! Rakan-rakan saya juga menggesa saya agar meneladani tindakan Amirul itu ( untuk menarik undian pengundi ) . Mula-mula saya tidak ingin berbuat sebegitu . Saya menyampah akan tindakan hipokrasi ! Namun , apabila saya mempertimbangkan tujuan simulasi pilihan raya ini iaitu untuk mendidik para pelatih tentang tanggungjawab dan peranan tiap-tiap pihak dalam prosedur pilihan raya yang sebenar , saya pun " menyantuni " golongan pengundi tersebut . Tetapi saya hanya menolong salah seorang yang warga tua bagi satu kali sahaja . Saya cuma ingin membegakan tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh seorang YB terhadap golongan yang memerlukan bantuan kepada para pelatih . Pendemonstrasian saya ini adalah untuk mentarbiahkan para pelatih , bukan untuk menarik minat mereka mengundi saya .     
Calon YB Parti Kunci
VS
Calon YB Parti Traktor
Calon YB , Amirul Asyraf Bersama Pengundi yang
Menyamar Sebagai Orang Tunaanggota 
Pegawai SPR " Membantu " Pengundi Warga Emas
Kami Sudah Mengundi !
  Apa yang berlaku sepanjang pagi hari Isnin itu sama seperti apa yang kita lihat semasa proses pengundian pilihan raya yang sebenar di luar sana . Para pelatih menyetem di kelas masing-masing . Terdapat dua kawasan yang mempunyai bangunan kelas , iaitu kawasan ( D.U.N Waris ) yang berdekatan dengan bilik rehat jurulatih dan kawasan ( D.U.N Baidu ) yang berdekatan dengan Surau Al-Amin . Nama calon YB bagi parlimen akan dicetak pada semua kertas undi kedua-dua kawasan kelas . Nama calon YB bagi D.U.N pula dicetak pada kertas undi D.U.N masing-masing sahaja . Analoginya , semua pelatih berpeluang mengundi calon YB parlimen tetapi hanya dapat mengundi calon YB D.U.N yang ada di lokasi undi mereka sahaja . Sekali lagi , para pelatih ( yang sebagai pengundi biasa ) berasa sungguh gembira kerana mereka dibenarkan memakai pakaian bebas yang sopan dan kemas pada Isnin pagi itu . Pada waktu inilah mereka telah sedar akan kepentingan seseorang rakyat keluar mengundi dan dapat merasakan keagungan rol rakyat sebagai bos untuk melantik sesebuah kerajaan ! Haha !

  Keputusan simulasi pilihan raya telah diumumkan oleh Pegawai SPR , wira Muhd. Isyraq bin Mohd. Yusof sebelum waktu makan tengah hari . Keputusan jumlah undi bagi D.U.N ( Dewan Undangan Negeri ) diumumkan mendahului keputusan jumlah undi parlimen .       


Pegawai SPR Bersama Anggota Polis
Menghantar Kotak Undian ke Tempat Mengira Undian
  Kedua-dua tempat bagi D.U.N telah dimenangi oleh Lidya dan Logenth ! Jumlah undi yang diperoleh mereka semua dalam bentuk seratus lebih vs lapan puluh dan lima puluh lebih ( jumlah undi pihak lawan ) . Setiap kali kemenangan YB Parti Kunci diisytiharkan , sorakan para pelatih akan kedengaran . Akhirnya sampailah keputusan jumlah undi parlimen saya dan Shi Qing . Berdebar-debar hati kami semua !  

  " Jumlah undi yang diperoleh calon YB Parti Traktor , Lee Shi Qing adalah sebanyak ... " Saya sudah lupa akan jumlahnya , lebih kurang seratus lebih . 

  Denyutan jantung para pengundi telah berhenti buat seketika . Hati saya terus tenggelam . Jika mengikut analisis keputusan nisbah jumlah undi Lidya dan Logenth sebentar tadi , apabila seseorang calon YB mendapat undian seratus lebih , seorang calon YB lagi daripada pihak lawan mesti mendapat undian sebanyak puluhan sahaja , maka calon YB yang seratus lebih undiannya itu akan menang . Ironinya , sekarang Shi Qing memperoleh undian seratus lebih , saya sudah pasti akan memperoleh undian yang puluhan sahaja ... maksudnya , Shi Qing yang menang ! ? 

  " Jumlah undi yang diperoleh calon YB Parti Kunci , Wong Xian Jun adalah sebanyak ... " 

  Saya telah mendapat undian sebanyak dua ratus lebih ! ( Baru saya sedar bahawa YB bagi parlimen adalah dipilih oleh semua pelatih kedua-dua kawasan kelas , maka nisbah jumlah undinya tidak sama seperti D.U.N ! )

  Parti Kunci telah memenangi ketiga-tiga tempat yang dipertandingkan dalam simulasi pilihan raya kali ini ! Tahniah ! Tahniah ! Tahniah ! 

  Tepukan , sorakan , laungan , teriakan pelatih telah menggemparkan satu Dewan Pinggiran Linggi ! Dari atas pentas , saya boleh nampak ramai pelatih serta-merta berdiri untuk memberikan tepukan yang gemuruh kepada pihak Parti Kunci sebaik sahaja saya diumumkan sebagai YB parlimen Masta , seperti Amerikanisme berdiri untuk memberi pelakon tepukan sambil bersorak yang ghalibnya kita lihat dalam rancangan realiti tayangan televisyen .

  Hidup Parti Kunci !

  Pada waktu petang itu , kami ( YB Parti Kunci dan calon YB Parti Traktor ) ada merarau bersama Timbalan Komandan Latihan , Kapten Bersara Mohd. Salleh bin Mahat dan jua Timbalan Komandan Pengurusan , Kapten Shahid bin Sulaiman ( TUDM ) di tempat makan khas pihak pengurusan atasan . Bangga benar ! Haha ! Kami membincangkan masa hadapan masing-masing , pengalaman ketenteraan kedua-dua timbalan komandan tersebut dan banyak topik lagi secara bersantai-santai . Kami YB Parti Kunci tahu janji yang seyogianya kami tunaikan selepas kemenangan kami dalam simulasi pilihan raya ini ( uswahnya memohon kebenaran untuk memulangkan telefon bimbit kepada pelatih dengan awalnya ) , namun kami tidak membincangkannya langsung bersama timbalan komandan semasa makan tengah hari itu . Biarlah ! Haha !

  Banyak pengalaman telah saya timba sepanjang simulasi pilihan raya ini dijalankan . Sememangnya saya berasa bangga menjadi YB walaupun YB palsu ( sehingga sekarang masih ada sahabat PLKN saya memanggil saya " YB Wong " haha ) , namun saya jua telah merasakan kepenatan seseorang YB . Kehormatan bagi seseorang YB yang biasanya kita lihat dalam realiti rupa-rupanya ada pengorbanan di sebaliknya ! Penat ! Tenat ! Perasaan inilah yang saya memberitahu rakan-rakan lain ( termasuklah " pihak media massa " ) apabila kami beromong-omong selepas saya menang dalam pilihan raya . Saya dan Lidya juga mula berbincang untuk menulis surat permohonan atau surat aduan bagi menunaikan janji Parti Kunci selepas kemenangan dalam pilihan raya . Permintaan Parti Kunci untuk " pemulangan telefon bimbit pelatih secara awal " termakbul pada suatu Jumaat petang sebelum lawatan pelatih ke Muzium Tentera Darat Port Dickson di Negeri Sembilan Darul Khusus pada hari esoknya . Bolehkah anda bayangkan situasi semasa roll call Jumaat petang itu apabila Encik Shah memberitahu seluruh pelatih bahawa pemulangan telefon bimbit pelatih pada petang itu adalah hasil daripada permohonan YB Wong kepada tuan komandan ? Para pelatih di seluruh dataran kawat , dari kompeni Alfa sampai kompeni Delta yang paling jauh sekali , termasuklah calon-calon YB Parti Traktor dan mereka yang mengundi Parti Traktor , semua melaungkan ucapan terima kasih kepada saya !

  " Terima kasih , Wong ! "

  " Hidup Parti Kunci ! "

  " Memang betullah aku undi kau ! " 

  " Wong ! You are my best friend ! "

  Wong ini , Wong itu . Bermacam-macam ayat bodek saya dengar ! Bangga sih ! Haha !


Pelatih Begitu Excited Kerana Inilah Kali Pertama
Mereka Dipulangkan Handphone Awal-Awal Petang Jumaat ! 
Surat Rasmi yang Saya Hantar Kepada Cikgu Norhayati
 Atas Kes Kecurian Telefon Bimbitnya
Bersama Sahabat Saya Selepas Kemenangan Parti Kunci 
  Saya ingin mengambil kesempatan blogging ini untuk menyampaikan penghargaan paling ikhlas saya buat saudara Lim Wu Zheng . Lim seorang sahabat yang telah banyak menolong saya dalam persiapan simulasi pilihan raya kali ini . Malam sebelum hari manifesto ( hari Jumaat ) , kami beberapa orang pelatih Cina ( yang sama dorm kompeni Alfa ) telah membuat poster-poster Parti Kunci yang mengandungi janji , propaganda serta slogan Parti Kunci bersama-sama sehinggalah larut malam untuk ditampal di sekitar kem pada petang keesokan harinya . Pada hulu dinihari , ramai sahabat saya telah tidur selepas jumlah poster yang ingin  kami hasilkan tercapai . Tinggallah saya nan sudah " nyawa-nyawa ikan " ( besok saya perlu membentangkan manifesto lagi ) dan jua Lim yang masih berjaga . Terdapat timbunan poster kecil Parti Kunci cetakan kem ( diguna pakai untuk setiap tahun ) lagi yang perlu diikat bersama tali untuk digantung di sekeliling kem pada keesokan harinya . Lim memikirkan cara untuk memasukkan tali ke dalam lubang poster tersebut yang terlalu kecil bagi talinya . Lalu dia keluar ke dorm untuk mencari dawai tajam sementara saya melelapkan mata seketika di dalam dorm ( saya merancang untuk bangun dan mengikat poster-poster itu bersama Lim selepas dia dapat dawai yang sesuai ) . Manalah saya tahu , kepenatan saya betul-betul menidurkan saya sehingga pagi esok ! Lim telah mengikat semua poster kecil itu berseorangan sepanjang malam tanpa mengejutkan saya langsung !

  Bersyukur ...

  Terharu ...

  Setia ...
Bersama Saudara Lim Wu Zheng
  Selepas kami memperoleh permit daripada pihak SPR untuk menampal poster di dalam kem , pada malam Sabtu , sekali lagi kami berusaha keras sehinggalah malam buta untuk menghasilkan poster-poster pilihan raya yang lebih menarik dan provokatif . Pada jam dua setengah subuh buta , saya ingin menampal poster-poster yang telah siap pada luar dinding bilik penginapan kompeni-kompeni lain . Saya gila , bukan ? Kenapa saya mahu menampal poster pada malam-malam ini ? Sebab saya ingin memberi wira-wira kejutan pada pagi esok ! Haha ! Limlah juga orang pertama yang sudi menemani saya untuk mengambil risiko misi ini . Kami berdua naik turun tangga ke setiap dorm untuk menampal poster Parti Kunci semasa para pelatih sedang tidur nyenyak . Saya dan Lim terpaksa berwaspada terhadap " ancaman keselamatan " kami . Contohnya , serangan daripada pesawat yang kecil-kecil cili padi ( nyamuk ) dan jua pancaran cahaya lampu suluh Sang Komodo ( jurulatih yang bertugas malam ) ! Bahaya ! Seronok ! Haha !  
Bersama Saudara Lim Wu Zheng
  Lim telah banyak mengorbankan masanya bersama saya dalam persiapan pilihan raya bagi Parti Kunci . Dia tidak pernah mengadu kepenatannya . Selepas Parti Kunci menang , dia pun tidak teringin untuk menunjuk-nunjuk atau menuntut apa-apa jasanya dalam kemenangan Parti Kunci . Sememangnya saya belajar esprit de corps yang terserlah dalam karakter Lim . 

  Terima kasih , saudara Wu Zheng ! 谢谢你 , 武政老兄 !

  Tampaknya saya sudah banyak berkongsi pengalaman saya dalam menyertai aktiviti-aktiviti PLKN dengan anda semua . Izinkanlah saya berkongsi detik-detik kehidupan saya di dalam kem PLKN pula dengan anda ...

  Saya sangat suka akan kehidupan di dalam kem PLKN . ( Malah saya masih balik ke Kem PLKN Warisan beberapa kali selepas PLKN kumpulan 1 siri 11 / 2014 telah tamat . ) Kehidupan saya yang sebagai seorang anak tunggal selama ini amat sunyi . Saya membuat kerja sekolah berseorangan , main berseorangan , menonton rancangan televisyen berseorangan ... memang bertemankan ibu bapa , namun bukan semua suara hati boleh kita yang sebagai anak berkongsi dengan ibu bapa , bukan ? Sekurang-kurangnya bagi saya , kadang-kala saya lebih rela menelan masalah personal sahaja daripada berkongsi dengan ibu bapa . Saya tidak mahu mereka bimbang akan diri saya . Kalau ibu bapa mengatakan bahawa mereka tidak akan apa-apa selepas kita memberitahu mereka masalah diri kita , ianya hanya " tipu helah " mereka sahaja ! Manalah ibu bapa yang tidak akan risau akan anak kesayangan mereka ? Adakalanya jarak antara adik-beradik adalah lebih dekat jikalau dibandingkan dengan jarak antara seorang anak dan ibu bapanya . Persoalannya , saya tiada adik-beradik !

  Oleh sebab itulah , saya senantiasa meladeni sahabat-sahabat saya dengan menganggap mereka sebagai adik-beradik saya .

  Di dalam kem PLKN , saya telah merasai kebahagiaan mempunyai teman-teman yang boleh bersama dengan saya setiap masa . Di dalam Kem PLKN Warisan , saya makan bersama ratusan sahabat , menonton rancangan perlawanan bole sepak via televisyen bersama puluhan sahabat , melakukan aktiviti bersama ratusan pelatih , tidur pun satu dorm tiga puluh orang kawan ... bahagia benar ! Anda tidak akan merasai perasaan saya ini jika anda tidak pernah merasai kesunyian selama 17 tahun ( dan mungkin akan berpanjangan pada hari-hari selepas saya keluar kem PLKN ) seperti saya ! 

  Pada Jumaat malam semasa saya dan rakan-rakan saya sedang membuat poster-poster simulasi pilihan raya , tiba-tiba Lim masuk ke dalam dorm dan menyuruh saya ke tandas dengan segera . Katanya , ada sesuatu yang menjijikkan dijumpai mereka di dalam kolam air mandi tandas . ( Tanpa saya sedari , sebenarnya ramai sahabat dorm saya telah keluar dari dorm pada masa itu . ) Mula-mula saya tidak ingin mengikuti Lim ke tandas . Apa mahu huru-hara dengan benda yang menjijikkan itu ? Kamu tidak nampakkah saya sedang sibuk membuat poster-poster Parti Kunci ? Tambah lagi , malaslah saya hendak ke tandas pada waktu malam-malam sebegini ... 

  Walau bagaimanapun , memandangkan pertolongan yang telah banyak dihulurkan oleh Lim kepada saya dalam menghasilkan poster-poster pilihan raya , akhirnya , saya pergi jua ...

  Sebaik sahaja saya masuk ke dalam tandas , kejutannya saya telah disimbahkan dengan beberapa baldi air bercampuran serbuk sabun pakaian dari atas , belakang , depan ... semua arah saya ! 

  " Hei , apa yang engkau semua buat ni ! ? "

  " Happy birthday , Wong ! " Sebelum saya sempat bereaksi , saya telah dihujani ucapan selamat hari jadi daripada kawan-kawan yang bersepakat di dalam tandas !   

  Oh , haah , hari ini ( sudah melepasi jam dua belas tengah malam ) 22 hb Februari hari jadi saya ! Saya hampir terlupa ! 

  Sekali lagi saya ...

  Bersyukur !
  
  Terharu !

  Setia !


Saudara Salman Bersama Sahabat-Sahabat Lain Telah Menulis Ucapan Mereka Pada Kalendar dan Meminta Saya Menanggalkan Helaian " 21 Hb " Selepas Jam 12 Tengah Malam ! Surprise
Kad Ucapan yang Dihadiahkan oleh Pihak Media Massa !
Menyambut Hari Jadi Saya Di Tokong Buddha Masjid Tanah Bersama Sahabat-Sahabat
( Terima Kasih Ayah Kerana Sanggup Membawa Kek ke Tokong Kami )
Ayah Menolong Saya Mengagihkan Kek


Aduhai , Nakal Benar Sahabat-Sahabat Ini !
  Terima kasih kepada semua sahabat-sahabatku terutamanya wira Muhd. Salman bin Samin yang merancangkan semua pelan ini ! Sambutan hari jadi saya pada tahun ini , 2014 merupakan sambutan yang paling istimewa dan tidak akan dapat saya lupakan sampai bila-bila masa nanti !



  Pada hari Sabtu yang terakhir kami di dalam Kem PLKN Warisan sebelum kami keluar kem pada 18 dan 19 hb Mac ( hari Selasa dan Rabu ) , Lim telah terus pulang ke rumahnya dan tidak akan masuk ke kem lagi . Abangnya akan berkahwin pada hari Ahad . Kami semua ( member wira Cina ) agak berat hati . Begitu juga dengan saya . Namun saya tidak menangis seperti waktu saya menghantar kawan-kawan lain yang mendapat pengecualian PLKN sebelum ini kerana saya percaya suatu hari nanti kami akan berjumpa lagi . Pada petang itu , saya mendapat suatu mimpi semasa saya terlelap di dalam dorm saya .

  Dalam mimpi saya itu , saya baru bangun dari tidur pada waktu senja ( kira-kiranya jam tujuh senja ) . Situasi dalam mimpi itu begitu " real " sekali ! Situasi itu bulat-bulat seperti situasi setiap kali saya bangun dari tidur " nap " semasa saya kecil lagi ( kira-kira dalam lingkungan umur 10 tahun ) . Masa itu saya tiada telefon bimbit ( penggunaan telefon bimbit dalam kalangan kanak-kanak tidak ghalib lagi ) dan tiada juga komputer ( Facebook belum wujud lagi di dunia ini ) . Pada masa itu , saya sememangnya sudah terbiasa dengan kesunyian . Apa yang hairan bin ajaib , kesunyian pada masa itu jua boleh saya rasai dalam mimpi ini ! Dalam mimpi , saya bangun dari tidur dan terus pergi ke dapur . 

  " Dah bangun ya ? " tanya ibu .

  " Ya . "

  Saya berasa sungguh sunyi . " Hai , semalam baru di kem , ramai kawan ; sekarang dah di rumah . Kembali ke kehidupan sebagai anak tunggal , " fikir hati saya . " Kenapa ! ? Kenapa masa itu berlalu dengan begitu cepat sekali ! ? Saya rindu akan kawan-kawan PLKN saya ! Sunyi ! Sunyi ! " Saya merintih , mengerang dan melaung sekuat-kuatnya dalam hati . Trauma kesunyian menghantui jiwa saya semula !

  Tiba-tiba , saya terjaga dari tidur . Rupa-rupanya ini semua mimpi sahaja . Saya masih berada di dalam bilik penginapan wira Kem PLKN Warisan . Kawan-kawan saya masih berada di sekeliling saya . Ada antara mereka yang sedang tidur , ada yang sedang bersembang , ada pula yang sedang membaca buku komik ... 

  Barulah lega hati saya ...

  Sampai sekarang , saya masih mengingati mimpi itu . Takbirnya , saya memang mengalami trauma kesunyian dalam sukma saya selama 17 belas tahun ini . Tanpa disedari , trauma ini telah lama bersarang dalam lubuk hati saya . 
Dengan Hati yang Berat , Saya Menghafal Teks Ucapan Saya
Untuk Malam Terakhir Kami Semua Pelatih Kumpulan 1 Siri 11
  Oleh sebab itulah , saya bersyukur kepada-Nya kerana memberi saya peluang untuk menyertai PLKN . Saya amat berterima kasih kepada-Nya kerana memberi saya peluang untuk mengenali begitu ramai kawan di dalam kem . Bagi saya , ukhuwahlah benda paling berharga yang saya peroleh ( melainkan beberapa ilmu pengetahuan ) di dalam kem PLKN selama hampir tiga bulan ini . 


Kali Terakhir Kami Pelatih Cina Buddhist Kumpulan 1 Siri 11 / 2014 Kem PLKN Warisan
 Pergi Ke Tokong Bersama-Sama
Persahabatan Antara Pelatih-Pelatih Cina
Persembahan Kami di Tokong Buat Kali Pertama
dan jua Kali Terakhir 


Sepanduk Hasil Titik Peluh Pelatih Melayu , Cina , India , Iban Kompeni Alfa
Semasa Sambutan Maulidur Rasul pada Bulan Januari
Sepanduk Besar Kompeni Alfa Dalam Sambutan Maulidur Rasul
  Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan penghormatan kepada seorang rakan seperjuangan PLKN saya atas pemergiannya ke rahmatullah , yakni wira Mohd. Azmil bin Erwan dari kompeni Alfa . Allahyarham Azmil bukan sahaja sama kompeni dengan saya , malah katilnya di tepi pintu sebelah katil saya . Pada 10 hb April tahun 2014 ini , Azmil telah meninggal dunia selepas dia berada dalam keadaan koma beberapa hari akibat kemalangan jalan raya . 

  Bagi saya , Allahyarham Azmil seorang Muslim yang bertakwa . Pada minggu pertama , disebabkan saya terlupa membawa jam loceng ke dalam kem ( ibu bapa telah membawanya kepada saya pada hari lawatan keluarga hujung minggu pertama ) , saya senantiasa tidur-tidur ayam dan akan bangun pada jam empat atau empat setengah saban pagi secara automatik . Setiap kali saya bangun dari tidur pada pagi-pagi buta , saya akan kejutkan semua wira di dalam ketiga-tiga dorm kompeni Alfa ( dorm BL1A , BL1B dan BL1C ) . Hal ini kerana pelatih Islam perlu menunaikan solat subuh berjemaah di Surau Al-Amin pada jam lima setengah pagi . Namun , saban kali saya kejutkan mereka , hanya Azmil sahaja yang akan terus bangun dan pergi ke bilik air bersama saya untuk mandi . Kadang-kala Azmil akan terkejut besar ( dalam keadaan mamai ) apabila saya kejutkan dia dan memberitahunya bahawa waktu sudah hampir jam lima pagi . Lalu dia akan tergesa-gesa pergi mengemaskan diri . Dari responsnya ini , saya boleh nampak semangat Islamiah Azmil untuk menunaikan solatnya . 

  Untuk pengetahuan anda , Allahyarham Azmil merupakan salah seorang penembak wira terbaik ( jika saya tidak silap , dia mendapat 94 markah ) ! Malah dia telah diminta oleh timbalan komandan latihan tampil ke depan semua pelatih untuk berkongsi pengalaman dan tekniknya dalam aktiviti menembak .  

  Selain itu , Azmil juga seorang yang berpegang pada amalan mulia ajaran Islam . Dia mempraktikkan konsep " wasatiyyah " , iaitu pendekatan sederhana , pertengahan , berimbang dan adil . Azmil bergurau senda seperti kita , malah ketawa terbahak-bahak juga . Namun , saya tidak pernah mendengar Azmil menghina , mengejek atau mengatakan yang bukan-bukan tentang seseorang di belakangnya . Pada tekaan saya , Azmil anak sebuah keluarga yang kurang berada . Dia tidak pernah menunjuk-nunjuk dari aspek pemakaiannya . Apabila wira-wira lain yang nakal mengejeknya , dia akan senyum dan menyambut ejekan mereka dengan baik . Azmil tidak pernah bertengkar dengan siapa-siapa pelatih . Dia juga tidak akan melawan cakap jurulatih yang menegurnya . Tapi , dalam ingatan saya , dia tidak pernah dimarah oleh jurulatih atau kawan-kawan lain kerana dia begitu mesra dengan semua orang di dalam kem . 

  Pada suatu malam , saya meminjam baju Melayu Azmil untuk saya pakai semasa roll call jam sepuluh malam sebentar lagi . Memandangkan pelatih diminta memakai pakaian bebas yang sopan dan kemas serta berkasut pada waktu malam , saya memang suka memakai baju Melayu ( rasanya tidak panas ) bersama seluar kelas ( seluar panjang seperti seluar seragam sekolah berwarna biru tua ) serta berkasut kasut kulit kelas . Menurut Azmil , baju Melayunya itu perlu digosok agar tidak kelihatan berkedut . Maklumlah saya tidak biasa untuk menggosok pakaian . Disebabkan darjah kepanasan seterika yang saya guna terlalu tinggi ( tidak sesuai dengan jenis kain baju Melayunya itu ) , baju Melayu Azmil telah terkoyak ! Ya tuhan ! Bagaimanakah saya mahu memberi Azmil penjelasan nanti ! ? Adakah Azmil akan memarahi saya ! ? 

  Walau bagaimanapun , apabila saya memberitahu Azmil perkara yang sebenar lalu meminta maaf daripadanya , dia amat menenggang hati saya dan terus memaafkan saya . Selepas itu ( sehinggalah PLKN kumpulan 1 siri 11 tamat ) , dia tidak pernah memanifestasikan sebarang emosi negatif dalam melayan saya . Saya berasa begitu bersalah kerana Azmil hanya membawa dua pasang baju Melayu saja ke dalam kem !   

  Sikap pemaaf Allahyarham Azmil ini membuat saya teringat tindakan Nabi Muhammad s.a.w. yang mengampunkan tawanan berbangsa Quraisy semasa baginda memasuki kota Makkah ...
Kami Kompeni Alfa Kumpulan 1 Siri 11 / 2014 Kem PLKN Warisan Tidak Akan Melupai Arwah Azmil ( Gambar Diambil Semasa Pengecualian Saudara Raja Akhbar )
Allahyarham Mohd. Azmil Bin Erwan ( Ketiga Dari Kiri )
  Banyak kenangan manis dan pahit lagi yang telah kami pelatih kumpulan 1 siri 11 / 2014 lalui bersama-sama di dalam Kem PLKN Warisan . Namun , bukan semua kenangan ini boleh digambarkan via perkataan . Hanya orang yang melaluinya yang akan merasainya sendiri . Bersyukurlah ! Bersyukur kepada tuhan kerana diberikan-Nya peluang untuk menyertai PLKN ! Berterima kasih juga kepada sahabat-sahabat yang telah menemani saya sepanjang PLKN hampir tiga bulan ini . Sanyalah persahabatan PLKN kami ini perlu dipupuk dengan baik . Hal ini samalah seperti menyusun sirih , yang mana sepiak dua pinangnya ; yang mana secalit dua kapurnya ; yang mana segenyeh gambirnya . Kalau perlu , disempurnakan lagi dengan selitan buku cengkih , segentel pala atau setabur gula . Hal ini bukan sahaja boleh memperindah paduan tetapi jua mengusik selera . Ada manisnya , ada pedasnya , ada masamnya . Maka daripada ramuan inilah akan terjelma keindahan memori kami bersama di dalam Kem PLKN Warisan Masjid Tanah , Melaka .


Perbarisan Pelatih Kumpulan 1 Siri 11 / 2014 Kem PLKN Warisan yang Terakhir 
Bersama Wira-Wira Cina Kompeni Alfa : Haw Guan Hwee , Tan Zhi An , Lau Jia Wei ,
Joshua Ang Tiong Yong , Saya dan Loh You Siang ( Lim Wu Zheng Sudah Keluar Kem Awal )
Adakah Persahabatan Kami Akan Berkekalan Selepas Keluar Kem ?
Kompeni Delta , Perisai Selatan , Merupakan Juara Keseluruhan
Kumpulan 1 Siri 11 / 2014 Kem PLKN Warisan Melaka
Kondisi Di Dalam Dorm Saya Pada Malam Terakhir PLKN Kumpulan 1 Siri 11 / 2014
Bersepah ! Haha
  Saya mengakhiri blog saya pada kali ini dengan rangka teks ucapan saya ( yang saya tulis sendiri ) sebagai wakil pelatih dalam " Wonderful Tonight " Majlis Malam Penutup Kumpulan 1 Siri 11 / 2014 pada malam terakhir kami seluruh pelatih di dalam kem PLKN ( teks ucapan saya yang sebenar pada malam itu telah saya hadiahkan kepada seorang wirawati rapat saya ) :


  Terima kasih kepada pengacara majlis . Yang Berbahagia Tuan Komandan Kem PLKN Warisan , Mejar Zurkafli bin Karim ( TUDM ) , Yang Berusaha Timbalan Komandan Pengurusan , Kapten Mohd. Shahid bin Sulaiman ( TUDM ) , yang dihormati Timbalan Komandan Latihan , Kapten Bersara Mohd. Salleh bin Mahat , staf-staf pengurusan , para jurulatih serta wira dan wirawati sekalian .    
  Saya berasa amat gembira kerana diberikan peluang mewakili rakan seperjuangan saya wira dan wirawati sekalian untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis malam penutup ini . Sebagaimana yang kita ketahui , malam ini merupakan malam yang terakhir bagi kita seluruh pelatih kumpulan 1 siri 11 / 2014 Kem PLKN Warisan berkumpul di sini . Dalam sekelip mata sahaja , 73 hari telah pun berlalu . Setiap saat di dalam kem ini telah pun kita lalui bersama-sama . Sesungguhnya Program Latihan Khidmat Negara memberikan seribu satu makna dalam kehidupan kita semua . Walaupun pada awalnya , mungkin ada antara kita yang berasa janggal untuk menyesuaikan diri dalam situasi kem ini , tetapi saya amat pasti lama-kelamaan majoriti kita telah menganggap kem ini sebagai rumah kita yang kedua dengan rakan sebagai adik-beradik dan jurulatih sebagai ibu bapa . Apatah lagi bagi pelatih yang mana statusnya ialah anak tunggal seperti saya . Maka dengan itu , kita wira dan wirawati ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga Kem PLKN Warisan , diketuai Tuan Komandan Kem Mejar Zurkafli bin Karim ( TUDM ) kerana segala kebajikan para pelatih terjamin dan terpelihara di dalam kem ini . Penjagaan dan pengasuhan terhadap setiap pelatih ini telah dilakukan oleh pihak Kem PLKN Warisan tanpa mengira kaum dan agama . Begitu juga dengan jurulatih latihan fizikal dan kerohanian . Segala ilmu pengetahuan dan informasi serta pengajaran yang dicurahkan oleh para jurulatih telah kita puas nikmati walaupun secangkir hikmatnya . Sememangnya , para jurulatih umpama pekebun dan kita pelatih umpama biji benih manakala ilmu pengetahuan umpama baja yang ingin disemaikan . 
  Di sini juga ingin kita ambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan kita kepada seluruh warga pihak pengurusan kem yang senantiasa menjaga kebajikan pelatih dari variasi perspektif selama dua bulan setengah di Kem PLKN Warisan . Tidak lupa jua kepada pihak Syarikat Warisan Baiduri pengurusan dewan makan yang menyediakan makanan dan minuman termasuklah bagi pelatih vegetarian selama 73 hari ini siang malamnya . Begitu juga kepada pihak cleaner yang telah mengemaskan dan membersihkan kawasan di sekitar kem ini termasuklah bilik penginapan wira dan wirawati .
Hadirin dan hadirat ,
  Saya mewakili pemegang-pemegang balak ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada unit disiplin Kem PLKN Warisan yang memantau dan membimbing kita untuk mendisiplinkan diri kita di dalam kem ini . Orang Arab ada satu peribahasa yang berkata , " Apabila tiada kucing maka tikus pun menari-nari . " Bagi saya " Apabila tiada En. Shah maka puntung rokok pun menari-nari . " 
Tuan-tuan dan puan-puan , wira dan wirawati sekalian ,
  Kata orang , setiap pertemuan mesti ada perpisahan . Perpisahan itu perlu untuk kita berkampung , untuk kita berkumpul , untuk kita bertemu pada masa yang akan datang . Mungkin satu hari nanti , kita akan lupa akan slogan pagi-pagi di Kem PLKN Warisan " Bangun bangun bangun ! " ; mungkin satu hari nanti kita akan lupa akan encik mana yang selalu beri arahan " Disebabkan ... 10 , 1 , 2 " ; mungkin satu hari nanti kita akan lupa sama ada " TTS " itu " Tempur Tanpa Senjata " atau " Tidur Tempat Sendiri " ; mungkin satu hari nanti kita akan lupa akan wajah rakan-rakan yang duduk di depan , belakang , sebelah kita sekarang ... Tetapi , wira dan wirawati sekalian , janganlah kita sekali-kali lupa akan persahabatan yang telah kita jalin di Kem PLKN Warisan ini ; janganlah kita sekali-kali lupa akan perpaduan yang telah kita bina antara Melayu , Cina , India dan Iban di Kem PLKN Warisan ini ; janganlah kita sekali-kali lupa akan jati diri kita sebagai seorang anak Malaysia di tanah air yang tercinta ini ! 
  Tinggal beberapa jam lagi , Program Latihan Khidmat Negara bagi pelatih kumpulan 1 siri 11 / 2014 Kem PLKN Warisan akan tamat . Biarlah , biarlah masa berlalu , biarlah zaman berubah , kita wira dan wirawati sekalian tetap akan menjadi pemimpin yang menjulang reputasi diri kita , reputasi Kem PLKN Warisan , reputasi negara Malaysia di persada dunia nanti ! Maka dengan itu , saya mengakhiri ucapan saya dengan serangkap pantun :
Setiap hari PT pagi ;
Ada rezeki kita berjumpa lagi .
  Sekian , terima kasih .
Wonderful Tonight Majlis Malam Penutup
Kumpulan 1 Siri 11 / 2014
Majlis Malam Penutup
Ucapan Saya Sebagai Wakil Pelatih 
Pesta Bersama Sahabat-Sahabat Cina Saya Di Dalam Dorm Pada Malam Terakhir PLKN Kami
Kenangan Bersama !
Bersama Sahabat-Sahabat yang Keluar Kem pada 18 Hb Mac ( Saya Pulang pada 19 Hb Mac )
Akhirnya , Tamat Juga PLKN Kumpulan 1 Siri 11 / 2014
Pelatih-Pelatih yang Keluar Kem pada 18 Hb Mac 
Bye Bye !
Ramai yang Menangis !
Ayat Ucapan Wira-Wira Ini Membuatkan Lebih Ramai Pelatih Menangis ! Sedih ! 
  Pada pandangan saya , dunia ini ialah ruang pentas dan seluruh makhluk ialah pelakonnya . Latar belakang pentas boleh sering berubah . Para pelakon juga boleh kerap bertukar . Tetapi , corak lakonannya masih tetap sama , walaupun musim berganti tahun dan tahun berganti kurun .


Wira-Wira yang Keluar Kem pada 19 Hb Mac
( Inilah Malam yang Benar-Benar Terakhir bagi Kami ! )
Bersama Tuan Komandan Pada Malam 19 Hb Mac yang Benar-Benar Malam Terakhir Kami Di Kem
Tuan Komandan Berkaraoke Bersama Kami Pelatih
Di Dewan Pinggiran Linggi
  Semoga ukhuwah kami pelatih kumpulan 1 siri 11 / 2014 Kem PLKN Warisan akan berkekalan hingga ke hujung dunia ini !


Terima Kasih Seluruh Warga Kem PLKN Warisan Masjid Tanah Melaka ! 



      
                                     

2 comments:

  1. KAU BERJAYA MENGALIRKAN AIR MATA AKU BUAT KEDUA KALINYA, WONG. Rindu kemmmmm

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha ,,, hrmmm,,,, sya ntah dh kali ker brapa dh MENGALIR AIR MATA msa tulis post ni ,,,, :' )

      Delete